PAS, DAP Setuju Kerajaan Halang Rakyat Korea Utara Keluar Dari Malaysia

KUALA LUMPUR – Pembangkang bersetuju dengan tindakan yang diambil kerajaan Malaysia untuk menyekat pegawai atau kakitangan di Kedutaan Korea Utara daripada meninggalkan negara ini serta merta.

Ahli Parlimen DAP Lim Guan Eng berkata, reaksi balas ini diambil selepas Korea Utara mengumumkan larangan sementara kepada semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

“Kita amat bimbang dan kita rasa bahawa kita sokong apa yang disebut oleh TPM sekiranya mereka tidak mahu melepaskan rakyat kita, kita pun kena buat yang sama.

“Dari pihak DAP kami tidak akan politikkan urusan luar negara, kita sehaluan dalam perkara ini,” ketika ditemui di lobi Parlimen sebentar tadi.

Walau bagaimanapun beliau melahirkan rasa bimbang mereka terhadap cara Malaysia menangani perkara ini, kerana tidak mustahil larangan oleh KDN itu ‘diambil kesempatan’ oleh ‘tahanan’ Korea Utara.

“Sekiranya Korea Utara jejaskan rakyat kita tentukan kita akan buat tindakan yang sama.

“Yang saya bimbang Korea Utara tidak kisah untuk duduk di Malaysia. Mungkin ada kerja-kerja risikan lain yang mereka belum habis lagi,” katanya.

Justeru ujarnya DAP menggesa supaya Kuala Lumpur memutuskan hubungan diplomatik dengan Pyongyang, selain mengemukakan usul kepada kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Tapi untuk rakyat kita dahsyatlah duduk di sebuah negara yang zalim sekali, susah.

“Itulah sebabnya kita harap, putuskan hubungan diplomatik maka kena pulangkan semua Duta, anggota kedutaan dengan serta merta mengikut Konvensyen Geneva

“Dan pada masa yang sama saya rasa Malaysia patut mengemukakan usul dengan Bangsa-bangsa Bersatu, dan ketiga mungkin minta bantuan dari negara yang masih ada hubungan baik dengan Korea Utara supaya bantu membebaskan warganegara Malaysia,” ujar beliau.

Ahli Parlimen PAS yang diwakili Dr Idris Ahmad juga senada selain menegaskan kepentingan mempertahankan kedaulatan negara.

“Dalam kes ini kita mesti bersama dengan negara, kedaulatan negara kita mesti kita selesaikan melalui undang-undang negara kita.

“Kita harapkan pihak Korea Utara rasional, dalam dunia geopolitik hari ini tak sepatutnya mereka bertindak sebegitu kerana sekarang bukan zaman tak bertamadun.. sekarang zaman perundingan, tidak untung jika konfrontasi,” katanya.

Bagaimanapun Naib Presiden PKR, Tuan Chua pula menyifatkan larangan oleh Malaysia kelmarin telah mempertingkatkan perbalahan dengan negara berkenaan.

“Saya juga persoalkan kenapa semasa kita mula menyaksikan ketegangan antara negara kita dengan Korea Utara, kementerian tidak memberi nasihat pada warganegara kita di sana, nasihatkan mereka untuk tinggalkan negara itu demi keselamatan.

“Kita di sini perang mulut, tindakan keras tapi warganegara tak tahu kerana memandangkan korea utara negara tertutup… maklumat kurang

“Saya ingin dapatkan penjelasan. Jika tiada langkah keselamatan dilakukan sementara kita berperang mulut dengan Korea Utara, maksudnya negara kita cuai dalam menjaga keselamatan warganegara,” katanya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.