Siasatan SPRM Dapati Najib Bebas Rasuah Kata Azalina

KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang perbuatan rasuah dalam isu wang derma RM2.6 bilion.

 

Hal itu ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kampar, Ko Chung Sen di Dewan Rakyat, hari ini.

 

“Penyiasatan ke atas isu RM2.6 bilion dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya oleh Peguam Negara menunjukkan hasil siasatan SPRM tidak menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melakukan sebarang perbuatan rasuah.

 

“Berdasarkan kepada Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai budi bicara penuh untuk menentukan sama ada sesuatu kes didakwa di mahkamah atau tidak,” katanya menerusi jawapan bertulis.

 

Chung Sen terlebih dahulu bertanyakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sama ada wujud konflik kepentingan apabila Peguam Negara yang dilantik menyiasat wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya dan melaporkan kepada perdana menteri.

 

Beliau juga bertanya apakah peguam negara boleh diminta menjelaskan di Parlimen sebab-sebab mengapa tidak terdapat apa-apa kesalahan jenayah berhubung RM2.6 bilion tersebut.

 

Dalam perkembangan berlainan, Azalina berkata sudah tiba masanya untuk Jabatan Peguam Negara mengkaji semula beberapa peruntukan hukuman di dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

 

Ia dilakukan selaras dengan perkembangan semasa penyebaran maklumat dalam dunia tanpa sempadan.

 

“Apa-apa cadangan pindaan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 adalah tertakluk kepada keputusan dasar yang diputuskan oleh pihak eksekutif.

 

Kebiasaannya peruntukan dalam suatu undang-undang akan dikaji apabila mencapai suatu tempoh masa tertentu.

 

“Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara sudah tiba masanya peruntukan berkenaan hukuman dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 dikaji semula selaras dengan perkembangan semasa penyebaran maklumat dalam dunia tanpa sempadan, serta kekerapan berlakunya ketirisan rahsia Kerajaan pada masa kini,” ujarnya dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

 

Terdahulu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim meminta Najib menyatakan status kajian semula Akta OSA yang bertujuan untuk memastikan kerahsiaan maklumat kerajaan dipelihara serta bilakah ia dijangka akan dibentangkan di Parlimen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.