Video: Kubah Masjid Nabi Bertukar Warna, Viral Di Media Sosial

Kuala Lumpur – Sebuah video yang menunjukkan kubah Masjid Nabawi bertukar daripada warna hijau kepada warna kuning kemerahan menjadi viral di internet, mengaitkan ianya sebagai satu keajaiban atau kejadian aneh luar biasa.

 

Dalam video berdurasi 1 minit 4 saat, kelihatan pengunjung masjid berkenaan berkumpul di luar bagi menyaksikan kejadian berkenaan, sambil tidak melepaskan peluang untuk merakam imej kubah yang berubah warna itu.

 

Penyebaran video tersebut juga mengaitkan pelbagai andaian oleh pelayar internet. Ada di antaranya mengaitkannya sebagai tanda kemarahan Nabi, malah ada juga mengatakan ianya petanda kemunculan Imam Mahdi, selain beberapa andaian lain.

 

 

Namun, setelah diselidiki, rupa-rupanya perubahan warna kubah berkenaan berpunca daripada pantulan cahaya lampu merah yang terdapat berdekatan dengan kubah hijau itu.

 

Daripada pegawai pengawal Masjid Nabawi di pintu Bab Bilal dan Bab Quba, yang dipetik beberapa blog, mereka menjelaskan ia berlaku akibat biasan cahaya.

 

Dikatakan lampu merah tersebut sudah hampir 30 tahun tidak dinyalakan, yang mana dahulunya sering dinyalakan bertujuan sebagai tanda masuknya waktu Maghrib dan waktu berbuka puasa pada bulan Ramadhan.

 

Semalam, pada ketika video tersebut dirakamkan, lampu merah itu dinyalakan atas arahan pihak atasan Masjid Nabawi selepas solat Isyak.

 

Kesimpulannya, insiden berkenaan tiada kaitan dengan kejadian aneh atau sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.