Umno Sekarang Lebih ‘Solid’ – Dr Mahathir

Putrajaya – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau melihat kedudukan Umno lebih kukuh sekarang berbanding ketika zaman beliau mengetuai parti terbesar Melayu itu dahulu.

 

Secara sinis, bekas perdana Menteri itu berkata, ketika zamannya, Umno tidak memiliki baju merah seperti yang dipakai ketua Umno bahagian dalam pertemuan bersama Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak semalam.

 

“Saya nampak semua baju merah, merah itu tanda sokonglah. Perdana menteri perlu jumpa ahli Umno, itu memang kerja perdana menteri,” katanya.

 

Dr Mahathir berkata, berbanding era pemerintahannya, Umno hari ini lebih bersatu padu.

 

“Dulu tidak ada solidariti, Musa pun lawan saya,” katanya, merujuk Tun Musa Hitam yang meletak jawatan sebagai timbalannya pada 1987.

 

“La ni (sekarang ini) lebih solid… dulu baju merah pun tiada,” katanya kepada pemberita selepas satu forum di Putrajaya hari ini.

 

Dalam pertemuan dengan Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, 160 ketua Umno bahagian menunjukkan solidariti mereka kepada presiden Umno yang mengambil peluang memberikan penjelasan berhubung isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.