Tutup Buku Tentang Anwar – Awang Selamat

Strategi salah?

 

Senario 1. Majlis ceramah Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung kempen membebaskan Anwar Ibrahim di kawasan Batu, malam semalam hanya dihadiri beberapa orang.

 

Senario 2. Konvensyen Kitalawan di Shah Alam pagi semalam yang digerakkan oleh PKR untuk membakar semangat ahli PKR dan DAP bagi menjayakan kempen bebaskan Anwar, tidak mendapat sambutan.

 

Senario 3. Kemuncak pada sebelah petang iaitu demonstrasi jalanan di hadapan pusat beli-belah Sogo, dengan sasaran 200,000 orang, hanya dihadiri antara 4,000 hingga 5,000 orang (berdasarkan laporan portal pembangkang). Ahli-ahli Pas menjauhkan diri daripada himpunan itu. Turut jadi persoalan tidak ramai pemimpin kanan pembangkang hadir.

 

Senario 4. Sebelum ini, banyak diatur untuk himpunan di hadapan Penjara Sungai Buloh tetapi memalukan kerana tiada orang. Ahli-ahli PKR pun tidak hiraukan.

 

Apa makna ini semua? Pada Awang, keluarga Anwar dan PKR telah salah strategi. Terimalah hakikat, Anwar bukan lagi faktor yang dapat menarik perhatian rakyat yang melihat ia lebih kepada isu moral dan peribadi – bukannya perjuangan sebenar.

 

Kekotoran dan mudarat yang telah Anwar bawa tidak mampu dibersihkan dengan acara dan himpunan seperti itu. Malah PKR akan menenggelamkan lagi parti itu jika terus memainkan isu Anwar yang sudah menjadi liabiliti kepada gerakan pembangkang. Jangan sampai rakyat dan ahli-ahli sendiri meluat.

 

Nasihat bernilai 10 sen daripada Awang, tumpulah kepada pembinaan semula parti supaya kembali mendapat sokongan penyokong yang telah banyak lari. Ubahlah teraju, biarkan Timbalan Presiden Azmin Ali pula menggantikan Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

 

Semua tahu Wan Azizah sekadar boneka yang tidak mampu membawa PKR ke mana-mana. Tutup buku tentang Anwar. Beliau bukan lagi produk yang menarik, bersih lagi meyakinkan. Berilah peluang kepadanya menjalani pemulihan sebaik-baik mungkin. Itu lebih utama jika PKR benar-benar mahu selamatkannya. – Mingguan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.