Singapura Haramkan FMFA

Kuala Lumpur – Tidak mahu peristiwa hitam berulang, kerajaan Singapura memutuskan untuk mengharamkan penganjuran Festival Muzik Masa Hadapan Asia (FMFA) yang dijadualkan berlangsung pertengahan bulan ini.

 

Tahun lalu, dalam festival sama yang pada ketika itu berlangsung di Malaysia, enam orang meninggal dunia akibat pengambilan dadah secara berlebihan sehingga mengalami sesak nafas.

 

Singapura yang terkenal dengan ketegasan menangani penyalahgunaan dadah bertindak menolak rayuan terakhir daripada pihak penganjur FMFA untuk memperoleh lesen hiburan awam pada malam kelmarin.

 

Agensi berita AFP melaporkan semalam, pihak penganjur festival itu, Livescape Singapore Pte. Ltd. sebelum ini gagal sebanyak dua kali dalam percubaannya untuk memperoleh lesen tersebut.

 

Bagaimanapun, Livescape Singapura menjelaskan festival muzik itu yang dijadualkan berlangsung pada 13 dan 14 Mac ini di Pusat Pameran Changi dijangka menarik sekitar 20,000 pengunjung dengan persembahan DJ terkenal seperti Avicii, Afrojack dan Fatboy Slim.

 

“Menteri Dalam Negeri (Teo Chee Hean) telah membuat pertimbangan teliti dan menolak rayuan daripada Livescape Singapore untuk menganjurkan FMFA 2015 di negara ini,”jelas satu kenyataan ringkas Kementerian Dalam Negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.