Portal Pro-UMNO Dakwa PAS Lebih Percaya Cakap Pembunuh Berbanding Mahkamah

Oleh: KuntaKinte Malaysia

 

 

Tarik tali

 

Bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang melarikan diri ke Australia setelah didapati bersalah membunuh seorang warga Mongolia, Altantuya Saribu mendakwa beliau hanya mengikut apa yang diarahkan.

 

Bercakap kepada Malaysiakini.com, Sirul berkata, “Jika saya mati hari ini, saya tidak akan aman kerana saya cuma buat apa yang diarah dan ini balasannya yang saya dapat.”

 

Siapakah yang mengarahkan Sirul masih merupakan misteri yang sukar dirungkaikan kerana beliau sendiri tidak pernah mendedahkan di dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

 

Namun apa yang boleh disimpulkan ialah Sirul sedang mencari jalan untuk menyelamatkan dirinya dari tali gantung.

 

Seseorang pembunuh akan berkata apa sahaja demi menyelamatkan nyawanya. Justeru cakap-cakap secara samar Sirul ini seolah-olah beliau menganggap kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia boleh ditakutkan dengan pembohongan beliau.

 

Jika benar seseorang mengarahkannya beliau tentu telah mendedahkan ke dalam Mahkamah. Malah beliau juga boleh mendedahkan sebaik sahaja melarikan diri ke Australia. Namun beliau memilih untuk bermain tarik tali mungkin untuk mencari jalan mengugut mastermind sebenar di sebalik pembunuhan tersebut.

 

 

Tak mustahil dibayar

 

Malah tidak mustahil Sirul kini dibayar oleh pembangkang untuk membuat kenyataan-kenyataan yang memburukkan Perdana Menteri dan Barisan Nasional.

 

Sirul sudah tidak boleh pulang ke Malaysia. Beliau perlukan sokongan antarabangsa untuk mendapat suaka politik dan sokongan kewangan bagi meneruskan kehidupan di luar negara.

 

Penulis percaya sudah ada usaha untuk meyakinkan sirul untuk membuat tuduhan-tuduhan politik dengan pelbagai janji bantuan untuk terus hidup di luar negara.

 

Ramai berasa hairan mengapa Mohd Najib memberi respon kepada kenyataan Sirul ini sebagai “utter rubbish”. Mohd Najib membuat kenyataan terbabit kerana Pakatan Rakyat dengan pantas cuba mengaitkan beliau. Mohd Najib hanya menyatakan satu pembohongan mengaitkan beliau.

 

Bagi Pakatan Rakyat inilah peluang mereka untuk membabitkan Mohd Najib setelah cubaan pertama dahulu gagal, apabila Tian Chua dikesan memalsukan gambar kononnya Mohd Najib sedang makan malam dengan Altantuya dan Razak Baginda.

 

Justeru apabila Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar, bergegas ke Australia untuk bertemu dengan pembunuh bernama Sirul ini kerana beliau merasakan ini peluang mahu menjatuhkan Mohd Najib. Apakah janji atau “deal” yang dibuat?

 

 

Cari dalang

 

Harapan Mahfuz dan Pas ialah Sirul akan berkata Mohd Najib mengarahkan beliau membunuh Altantuya. Apakah Pas akan bersusah payah jika pembunuhan upahan ini tidak boleh dikaitkan dengan Mohd Najib?

 

Pernah kita lihat Pas bersusah payah mencari dalang di sebalik pembunuhan Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi? Pernah Pas peduli siapa dalang yang mengupah pembunuhan upahan ke atas Dr. Joe Fernandez (ADUN Lunas, Kedah) yang ditembak mati pada tahun 2000?

 

Semua ini tidak penting dan tidak menguntungkan politik Pas maka ia bukan urusan Pas.

 

Apa pun fakta yang sirul akan kemukakan ia tidak boleh menolak hakikat bahawa beliau telah membunuh seseorang tanpa sebab keselamatan, justeru hukuman gantung ke atas beliau tidak boleh dipertikaikan.

 

Walau apa pun motif beliau, sama ada kewangan atau mahu mengambil hati Razak Baginda untuk keuntungan masa hadapan, ia tidak menolak hakikat bahawa Sirul layak dan wajar dihukum gantung.

 

 

Cakap samar-samar

 

Fakta bahawa Sirul seorang pembunuh bukan sahaja disahkan oleh Mahkamah Persekutuan, malah oleh Sirul sendiri apabila beliau berkata kepada Malaysiakini bahawa seseorang mengarahkannya untuk membunuh Altantuya.

 

Justeru sangat aneh bagi sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam seperti Pas bersungguh-sungguh mahu menyebar fitnah dan gosip ke atas Perdana Menteri.

 

Jika portal yang dibiayai dengan dana asing dan dikuasai oleh bukan Islam seperti Malaysiakini hendak memutar belitkan isu ini dan mengaitkan dengan Mohd Najib ia bukanlah luar biasa.

 

Yang luar biasa apabila orang yang mengaku Islam menolak sumpah terbuka Mohd Najib Abdul Razak mengenai Altantuya tetapi mahu menerima cakap samar-samar seorang pembunuh?

 

Hakikatnya jika Mohd Najib terbabit dalam kes ini apakah ada antara pembaca yang percaya kes ini akan dibicarakan di Mahkamah dari awal lagi?

 

Apakah Mohd Najib begitu bodoh untuk mengarahkan pembunuhan Altantuya di Malaysia sedangkan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja di luar negara tanpa membabitkan beliau pun. – myKMU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.