Penjenayah Maut Ditembak Ketika Cuba Samun

Cheras – Seorang daripada empat penjenayah maut ditembak pengawal keselamatan, ketika cuba merompak premis pengurup wang di sebuah pasar raya di Taman Maluri, pagi tadi.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, empat penjenayah yang menaiki kereta jenis Naza Citra, dipercayai bertindak merempuh premis tersebut, sebelum melarikan diri bersama wang tunai.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad berkata, keempat-empat penjenayah itu memakai topi keledar berpenutup penuh, bagi menyembunyikan identiti mereka dan menggunakan parang untuk merompak premis tersebut.

 

Menurutnya, seorang suspek dipercayai menahan mangsa yang dipercayai pekerja premis itu.

 

“Pengawal keselamatan yang menyedari kejadian itu, melepaskan tiga das tembakan, menyebabkan seorang daripada penjenayah itu mati terkena tembakan.

 

“Susulan tembakan itu, dua suspek melarikan diri menggunakan motosikal, sementara seorang lagi suspek lari ke kawasan lain,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat jumlah wang yang berjaya dilarikan suspek.

 

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, kenderaan yang digunakan penjenayah adalah kereta yang dilaporkan hilang di Jinjang, Kepong enam bulan lalu.

 

Katanya, polis percaya kumpulan penjenayah ini adalah kumpulan sama yang merompak premis pengurup wang, Jun lalu, berdasarkan modus operandi sama.

 

Beliau berkata, pemeriksaan polis turut menemui dua bilah parang yang dipercayai digunakan suspek untuk merompak.

 

Zainuddin berkata, seorang daripada suspek itu mati akibat terkena tembakan di bahagian dada kanan dan siasatan awal mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah curi kenderaan.

 

Mayat suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, kerana melakukan rompakan berkumpulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.