Lorong Rahsia Belakang Kedai

RANTAU PANJANG – Pintu depan kedai dibuka untuk perniagaan ‘halal’, namun pada masa sama, sebilangan peniaga di sini turut membuka pintu belakang untuk aktiviti penyeludupan.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, usaha membanteras penyeludupan di Rantau Panjang dilihat agak mencabar berbanding di Pengkalan Kubor.

 

Ini kerana katanya, kebanyakan kedai di Rantau Panjang dilengkapi stor menyimpan barang di belakang kedai.

 

“Stor berkenaan pula dihubungkan secara terus ke Sungai Golok bagi memudahkan kerja memunggah barang ke sempadan Thailand.

 

“Jarak dan kedalaman sungai yang cetek memudahkan lagi urusan memunggah. Penyeludup hanya perlu tunggu di dalam perahu, kemudian barang seludup akan disalurkan melalui lorong rahsia di belakang kedai,” katanya selepas meninjau keadaan di pengkalan haram dan stor menyimpan barang di Rantau Panjang, semalam.

 

Alias berkata, langkah penyelesaian baharu perlu dirangka semula dengan fokus kepada punca sebenar berlakunya penyeludupan.

 

“Ia pastinya mengambil masa untuk diselesaikan, malah bukan satu tugas mudah untuk diatasi,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.