Kementerian Pengangkutan Teliti Laporan Interim MH370

Kuala Lumpur – Kementerian Pengangkutan akan meneliti laporan interim siasatan MH370 dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang kelemahan, termasuk kecuaian manusia, dalam mengendali tragedi penerbangan pesawat berkenaan pada 8 Mac tahun lepas.

 

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini bagi memastikan sebarang kelemahan dan kekurangan tidak berlaku lagi di masa hadapan.

 

“Saya telah tugaskan kementerian saya melakukan kajian segera dan analisis maklumat faktual yang dilampirkan bersama laporan itu.

 

“Kami tegas… jika ada sebarang kelemahan… kita akan ambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, hari ini.

 

Beliau mengulas mengenai laporan interim Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia mengenai MH370.

 

Laporan itu antara lain menyatakan pasukan berkenaan telah menemubual lebih 120 orang dan mengunjungi pelbagai badan berkaitan.

 

Antara yang ditemubual ialah petugas DCA, MAS, waris anak kapal, pengisi minyak pesawat, penyaji makanan untuk penerbangan, pencuci pesawat, pengendali dan operator kargo, penghantar barangan, pembekal dan penerima konsain.

 

Dalam pada itu, Liow dalam satu kenyataan berkata laporan sementara dan maklumat faktual itu bukan analisis terhadap sebab-sebab kehilangan MH370.

 

Penerbangan MH370, yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, hilang dari imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 8 Mac. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.