Hati Afdlin Luluh ‘Kembarnya’ Pergi

Baru saja dia berjumpa dengan Harun Salim Bachik pada Jumaat lalu malah mereka sempat bergurau seperti pertemuan sebelum ini.

 

Namun semalam bukan saja peminat yang menerima berita yang mengejutkan, bahkan pengarah dan pelakon Afdlin Shauki sendiri bagaikan tidak percaya apabila diberitakan bahwa sahabat baiknya itu telah pulang ke rahmahtullah.

 

Bercakap kepada media tempatan Afdlin berkata, ketika dimaklumkan mengenai perkhabaran menyedihkan itu beliau sedang mengikuti satu seminar di ibu negara.

 

“Saya dimaklumkan berita kematian Harun ketika sedang berada di dalam satu seminar. Saya terus hilang fokus dan bergegas keluar untuk ke rumah Harun bagi menunggu jenazahnya.

 

“Kami sebenarnya baru saja berjumpa Jumaat lepas, malah saya sempat bertepuk, bertampar dan bergurau dengan dia. Malah, Harun turut melahirkan rasa gembiranya mengenai projek terbaharu kami di Istana Budaya nanti,” kata Afdlin.

 

Sebelum ini Afdlin dan Harun bergandingan sebagai kumpulan Boboi dan menyertai Maharaja Lawak Mega 2011. Ternyata keletah mereka yang membawakan watak sebagai dua beradik tetapi berlainan ibu itu berjaya mencuri tumpuan dan popular dikalangan ramai peminat.

 

Tambah Afdlin, mereka juga ada berbincang mengenai hala tuju Boboi untuk terus berkembang di masa akan datang dan beliau akan cuba memastikan agar segala-gala yang dirancang berjaya dilaksanakan.

 

“Saya turut berbincang dengan Harun mengenai keputusan untuk tidak lagi tampil sebagai watak Datin Maimon setelah mendapat nasihat daripada Mufti Perak. Insya-Allah apa yang kami rancangkan akan cuba saya laksanakan,” kata Afdlin.

 

Afdlin berkata, mereka berdua sebenarnya berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu 19 Mei serta mempunyai matlamat hidup sama iaitu untuk memartabatkan bidang komedi.

 

Dia begitu istimewa kerana adalah seorang pelawak yang genius. Dia bertahan sehingga empat dekad serta masih lagi relevan dan menjadi pilihan penerbit tempatan.

 

“Semangat yang dimiliki oleh Harun untuk memartabatkan bidang komedi sama seperti semangat saya kerana kami berdua memperjuangkan komedi yang berisi dan bukan lawak ‘bodoh’ semata-mata.

 

“Saya sudah merindui dia kerana dia memang seorang yang baik,” kata Afdlin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.