Fahami Erti Sebenar Jihad – Mufti Kedah

Alor Setar – Umat Islam perlu memahami pengertian sebenar jihad dalam agama, kerana ia tidak hanya terbatas kepada tindakan mengangkat senjata dan berjuang di medan peperangan, sebagaimana dilakukan segelintir rakyat negara ini yang terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan di Syria.

 

Mufti Negeri Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, pengertian jihad dalam Islam adalah amat luas, meliputi pelbagai perkara di dalam kehidupan umatnya, termasuk tentang akhlak.

 

“Masyarakat Islam (di Malaysia) perlu mengambil ajaran Islam itu daripada sumber-sumber yang sebenarnya, jangan hanya berlandaskan (sumber) YouTube atau Facebook.

 

“Jihad, jikalau tidak diambil di dalam pengertian betul, akan menjadi jahat. Jihad biarlah di dalam bentuk yang mengikut landasan Islam,” katanya kepada Bernama, ketika Multaqa Imam, Guru Takmir, Guru Kafa dan Jawatankuasa Masjid Negeri Kedah yang berakhir baru-baru ini.

 

Ketika ini, dianggarkan 61 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria, termasuk 10 wanita, sementara mereka yang ditahan kerana menyertai kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) mencecah 71 orang.

 

Ada antara mereka yang pergi ke Syria, dengan tujuan untuk berjihad, termasuk anak-anak muda berasal dari Kedah, sebagaimana didedahkan polis, baru-baru ini.

 

Anak-anak Kedah yang dikesan berada di Syria ketika ini, termasuklah seorang pemuda berusia 20 tahun berasal dari Gurun dan seorang wanita berusia 26 tahun dari Baling yang mengikuti suaminya ke negara bergolak itu.

 

Mufti Kedah itu berkata, terdapat kemungkinan mereka yang pergi ke Syria, kononnya untuk berjihad itu, sebenarnya dipengaruhi pihak-pihak yang hanya berminat mengambil kesempatan.

 

“Sedang kita berusaha untuk memajukan umat Islam, tiba-tiba ada usaha untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam. Mengapa kita mahu ke sana (Syria), sedangkan kita tidak tahu matlamatnya,” katanya.

 

Exco Agama Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid pula berkata, kerajaan negeri, persekutuan serta pondok-pondok agama dan madrasah di Kedah perlu meneruskan usaha memberi penerangan tentang makna sebenar jihad dalam Islam.

 

Ini kerana, katanya, anak-anak muda hanya mengetahui maksud jihad menerusi laman-laman sosial YouTube dan sebagainya.

 

“Kita tidak boleh berhenti,” katanya sambil meminta Kementerian Dalam Negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), menyekat laman-laman sosial yang mempengaruhi rakyat negara ini untuk berjihad di Syria.

 

Setakat ini, menurutnya, tiada madrasah, sekolah Arab atau pondok-pondok agama di Kedah dikesan terlibat dalam penyebaran fahaman ekstremisme atau militan.

 

Sebaliknya, kata Mohd Rawi, dakwaan penyebaran fahaman itu oleh madrasah dan pondok agama, mungkian agenda pihak tertentu yang mahu menggagalkan usaha penyebaran Islam, selain menekan Malaysia daripada sudut politik serta ekonomi.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Mufti, pondok-pondok agama dan madrasah akan bekerjasama menangkis kekalutan tafsiran sempit mengenai jihad yang disebarkan laman sosial, ketika ini.

 

“Kerajaan negeri dengan kerjasama semua pihak terbabit akan menggunakan kaedah yang dipraktikkan mereka, ketika berhadapan isu ajaran Syiah di Kedah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.