Enakmen Jenayah Syariah Terengganu Perlu Dikenakan Atas Bukan Islam – Ridhuan Tee

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mahu enakmen kesalahan jenayah syariah Terengganu yang merangkumi larangan berkelakuan tidak senonoh dan berpakaian tidak sopan di tempat awam turut terpakai kepada bukan Islam.

 

Pensyarah kontroversi itu berkata, mereka yang enggan mematuhi peraturan berkenaan tidak seharusnya datang ke Terengganu kerana masih ramai yang mahu berkunjung ke negeri pantai timur itu.

 

“Saya ingin cadangkan supaya undang-undang ini turut merangkumi bukan Islam. Barulah adil. Tidak ada alasan berpakaian seksi dan berkelakuan tidak senonoh. Tidak ada agama yang membenarkannya.

 

“Bagi mereka yang bukan rakyat Terengganu. Datang ke tempat orang ikutlah pepatah ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak’.

 

“Tak nak ikut, jangan datang. Ramai lagi nak datang. Di Brunei, peraturan sebegini sudah lama dilaksanakan,” katanya menerusi kolumnya ‘Buka Minda’ di akhbar Sinar Harian hari ini.

 

Ridhuan berkata langkah yang diambil oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dengan memperkenalkan larangan itu ialah demi menjaga kepentingan umat Islam di negeri itu.

 

Katanya, usaha kerajaan negeri Terengganu itu bukanlah gerakan Talibanisasi seperti mana dakwaan pihak tertentu, tetapi bagi menjaga hak dan cara hidup Islam.

 

“Apa kamu peduli? Jika tidak suka, duduk diam-diam. Majoriti umat Islam tinggal di sini. Mereka mahukannya, seperti umat Islam di Kelantan mahukan hudud. Lagipun bukan negeri kamu.

 

“Tahniah, kepada kerajaan negeri Terengganu. Sebagai rakyat, saya rasa amat bangga, duduk di bawah naungan Tuanku Sultan dan menteri besarnya. Pemimpin sebegini yang kita mahu, ada ‘will-power’,” tulisnya di dalam akhbar itu.

 

Beliau yang sering membuatkan kenyataan yang dianggap berunsur perkauman berkata, antara pendekatan yang boleh diikuti ialah negara Brunei yang menyaksikan semakin ramai pelancong datang ke negara itu yang mengamalkan cara hidup Islam.

 

Katanya, antara transformasi yang dilakukan Brunei ialah memberi garis panduan kepada perayaan bukan Islam agar tidak menyekat akidah dan ibadah umat Islam.

 

“Menurut Brudirect, Brunei mengetatkan undang-undang berkaitan sambutan Tahun Baharu Cina. Antaranya dengan mengharamkan tarian singa dekat dengan masa solat dan persembahan oleh orang bukan Cina.

 

“Tarian singa kini hanya dibenarkan 3 hari sahaja, antara jam 8-11.20 pagi dan 1.30-5.15 petang. Persembahan itu hanya boleh diadakan di tokong, dewan sekolah, rumah anggota-anggota persatuan Cina. Brunei turut melarang penggunaan mercun dan bunga api.

 

“Menurut the Brunei Times, orang Islam perlu menghindari perayaan bukan Islam kerana ia boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) dan menjejaskan akidah. Langkah itu diambil selepas larangan hiasan Krismas di kompleks beli-belah,” katanya.

 

Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin itu berkata Malaysia tidak menggunakan pendekatan itu malah kebebasan kepada agama lain diberikan tanpa had.

 

Katanya, berdasarkan bukti, bilangan rumah ibadat, badan bukan kerajaan (NGO), media cetak, stesen radio televisyen, institusi pengajian tinggi dan banyak lagi, jauh melebihi bilangan yang dimiliki umat Islam ada.

 

“Di negara kita, kebebasan apa lagi yang tidak diberikan? Boleh dikatakan tanpa had. Kalau ada kekangan pun, amat sedikit. Itu pun ada laporan mengatakan Malaysia berada dalam tangga ke-8 dalam dunia (dari segi) mengekang agama lain.

 

“Identiti kita sudah tenggelam kerana menghormati hak orang lain, kononnya atas nama hak asasi manusia. Adakah semua ini dihargai?

 

“Pendek kata, berilah sebanyak mana pun, mereka tetap tidak akan berpuas hati, sehinggalah negara ini menjadi benar-benar sekular serta tidak ada lagi identiti Melayu atau Islam,” katanya menerusi tulisan yang bertajuk ‘Siapa Taliban dan Talibanisasi?’ itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.