KUALA LUMPUR – Selepas beberapa minggu dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) Tun Dr Mahathir Mohamad bersyukur diberi kesempatan untuk kembali menjalani rutin hariannya.
Bekas Perdana Menteri yang berusia 97 tahun itu malah mengakui sakit yang dialami beliau amat teruk bahkan dirinya sendiri tidak berharap akan pulih.
“Saya ucap terima kasih kerana ramai yang berdoa untuk saya pulih dan hasilnya ialah saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi sayalah amat teruk
adakalanya saya tak harap lah akan pulih.
“Tetapi alhamdulillah dengan rawatan yang diberi di IJN, saya pulih,” katanya dalam satu rakaman video pada Rabu.
Video berdurasi 1.15 minit itu memaparkan Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali sedang bersiar-siar di Tasik Putrajaya.
Dr Mahathir juga memberitahu keadaan beliau ketika ini masih boleh berjalan, makan, tidur dan duduk seperti biasa.
“Waktu ini saya boleh berjalan, makan, tidur, boleh duduk. Saya macam biasa lah tapi taklah begitu kuat nak buat kerja apa semua.
“Tapi saya harap saya akan pulih, terima kasih kepada semua,” ucap beliau.