Jabatan Imigresen Tumpaskan Sindiket Seludup Pendatang Asing

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran rentas sempadan membabitkan beberapa lokasi di sekitar Melaka, Selangor dan ibu negara pada jam 2 pagi, awal hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata hasil serbuan pihaknya menerusi operasi bersepadu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berjaya menangkap seorang wanita dan 12 lelaki.

Katanya, individu terbabit, termasuk seorang lelaki warga Indonesia yang berperanan sebagai tekong darat di negaranya dan seorang lelaki penduduk tempatan yang bertindak sebagai pengangkut atau ‘transporter’.

“Jumlah keseluruhan tangkapan membabitkan 13 orang semuanya.

“Turut disita dua kenderaan persendirian masing-masing jenis Sedan dan kenderaan pelbagai guna (MPV), dua teksi dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM30,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustafar berkata serbuan itu adalah hasil perkongsian maklumat perisikan antara agensi berkaitan menerusi NBOS membabitkan sindiket penyeludupan migran yang aktif di kawasan mukim Padang Temu, Melaka.

“Pada 8 Februari lalu,kita menggempur kawasan yang sama membabitkan kawasan tapak pembinaan yang hampir dengan persisiran pantai dan dikenal pasti sebagai lokasi transit pendatang asing tanpa izin (PATI)untuk masuk dan keluar ke negara ini secara haram.

“Hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu berjaya mengenal pasti modus operandi dan individu yang bertindak sebagai tekong darat.

“Mereka menguruskan PATI untuk masuk atau keluar secara haram dengan mengenakan kadar bayaran RM600 sehingga RM1200 bagi setiap PATI,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.