Suami Isteri Terpaksa Berenang 10 Jam Sebelum Diselamatkan Pemancing

TAWAU – Sepasang suami isteri yang berenang lebih 10 jam di laut selepas bot laju dinaiki bersama 13 penumpang lain karam di perairan Batu Payung diselamatkan oleh sekumpulan enam pemancing, petang Rabu.

 

Safar Sehan,57, berkata kira-kira pukul 5 petang, dia dan rakan-rakannya  sedang memancing apabila dikejutkan dengan teriakan meminta tolong.

 

“Kami kemudian melihat dua orang sedang melambai dan meminta tolong di tengah laut, dan kami bergegas meminta bantuan dari pekerja kilang berdekatan dan meminjam pelampung.

 

“Pekerja kilang ini berenang dan menarik kedua-dua mangsa ke kawasan batu sebelum kami mengangkat kedua-dua mangsa naik ke daratan,” katanya ketika ditemui di sini, Rabu.

 

Katanya ketika di daratan, mangsa lelaki yang hanya dikenali sebagai Rudy masih sedar manakala isterinya dalam keadaan separuh sedar.

 

Berdasarkan maklumat daripada mangsa, Safar berkata bot itu yang dalam perjalanan ke Sungai Nyamuk di Indonesia berlanggar dengan ombak besar sebelum karam malam Selasa.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata polis dan agensi keselamatan lain giat menjalankan operasi mencari 13 mangsa di perairan Batu Payung. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.