Misi Food Flotila Tiba Di Myanmar, Serah 500 Tan Bantuan Fasa Pertama

YANGON – Misi bantuan Food Flotila for Myanmar khusus bagi membantu etnik Rohingya di negara itu selamat tiba di Pelabuhan Antarabangsa Thilawa hari ini, di sini pada kira-kira jam 5.30 petang waktu Malaysia.

 

Menerusi fasa pertama penyerahan bantuan ini, barangan keperluan seberat 500 tan merangkumi 300 tan beras dan 200 tan kit kesihatan telah disampaikan oleh Ketua Misi Kemanusiaan Malaysia, Datuk Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

 

Sumbangan bantuan tersebut diserahkan kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr. Win Myat Aye dengan disaksikan Duta Malaysia ke Myanmar Mohd Haniff Abdul Rahman yang akan memantau proses penyerahan bantuan kepada etnik Rohingya di Rakhine.

 

Turut serta dalam majlis itu termasuklah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

Untuk penyerahan bantuan bagi fasa seterusnya, Abdul Azeez menjelaskan misi tersebut akan menyampaikan bantuan selanjutnya di Sittwe.

 

“Kami akan tunggu arahan seterusnya sama ada boleh atau tidak untuk singgah di Sittwe, dan yang pasti fasa pertama misi ini selesai,” katanya dalam sidang media selepas selepas majlis penyerahan fasa pertama itu.

 

Dalam sidang media yang sama, Reezal Merican mengalu-alukan kerjasama erat dari kerajaan Myanmar dalam memastikan misi bantuan ini berjaya.

 

“Keterbukaan kerajaan Myanmar menerima bantuan ini (untuk etnik Rohingya) menunjukkan ia sesuatu yang amat baik.

 

“Mereka turut akui wilayah Rakhine dan Sittwe antara yang amat memerlukan bantuan,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.