24 Individu Didakwa Salah Guna, Ubah Wang Haram RM10 Juta

KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 individu termasuk 13 sekeluarga meng­aku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 32 pertuduhan menyalahgunakan wang milik sebuah bank melibatkan transaksi kewangan lebih RM10 juta, tiga tahun lalu.

 

Kesemua tertuduh yang ber­usia antara 23 dan 62 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

 

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh termasuk tujuh wani­ta didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang antara RM9,894.86 dan RM4,567,683.26 milik bank berkenaan dan memasukkannya ke dalam akaun bank masing-masing.

 

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

 

Mereka turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menerima harta curi membabitkan jumlah transaksi yang sama. Pertuduhan pilihan itu dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda.

 

Sementara itu, 11 daripada mereka turut didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti peng­ubahan wang haram melibatkan jumlah RM2.5 juta.

 

Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegah­an Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai aktiviti itu atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

 

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi cawangan bank termasuk di ibu pejabatnya di sini antara Oktober 2014 dan Januari 2015.

 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali dan Asmah Musa manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Mohd. Faizi Che Abu, Syed Muhammad Adeeb Barakbah dan Ling Yee Siew.

 

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan sebelum menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan semula kes.

 

Difahamkan, penyalahgunaan wang itu dilakukan menerusi manipulasi sistem perbankan dalam talian.

 

Jumlah wang terlibat dalam penyalahgunaan dan pengubah­an wang haram dalam kes ini dipercayai mencecah sehingga RM36 juta memandangkan tertuduh-tertuduh terbabit juga dijangka dihadapkan ke mahkamah di beberapa negeri lain. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.