Rayani Air Siasat Kemungkinan Pesawat Disabotaj, Kata CEO

KUALA LUMPUR – Pengendali penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air, berkata syarikat itu akan menyiasat sama ada wujud kemungkinan pesawatnya yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pagi ini disebabkan perbuatan sabotaj.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rayani Air, Ravi Alagendrran berkata, penangguhan penerbangan yang dijadualkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) jam 11.10 pagi itu bukan berpunca daripada masalah teknikal.

 

“Ia bukan berpunca daripada kesilapan teknikal. Cermin kokpit kami didapati pecah selepas penerbangan malam tadi,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

 

“Kami sedang menyiasat insiden ini sama ada ia tindakan sabotaj atau tidak,” kata Ravi mengulas kejadian pembatalan penerbangan pesawat itu yang mengakibatkan lebih 200 penumpang terkandas.

 

Dalam kenyataan itu, Rayani Air turut berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan menyiasat punca kejadian.

 

“Sementara itu kami sedang mencuba membantu penumpang kami yang terkandas meninggalkan Langkawi dengan selamat,” kata Ravi.

 

Syarikat penerbangan itu turut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi penumpang mereka.

 

Media sebelum ini melaporkan penerbangan RN180 menggunakan pesawat Boeing 737 itu dibatalkan berikutan pesawat yang hendak digunakan mengalami masalah teknikal.

 

Seorang daripada petugas di Pejabat Khidmat Pelanggan Rayani Air di Langkawi dilaporkan berkata, tempoh untuk menyelesaikan masalah teknikal yang dihadapi pesawat itu belum dapat dipastikan lagi.

 

Menurutnya, penumpang yang terjejas diberikan pilihan sama ada untuk menggunakan perkhidmatan feri dan bas yang disediakan Rayani Air untuk kembali ke Kuala Lumpur ataupun tambang penerbangan mereka dikembalikan.

 

Petugas itu berkata, satu lagi penerbangan Rayani Air yang dijadualkan jam 6.20 petang ini juga dibatalkan. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.