ADUN PAS Mengaku Berpakaian Menyerupai ‘Dewa Rezeki’

SHAH ALAM – Setiausaha Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman mengakui memakai pakaian menyerupai dewa Cau Guo Jiu dalam satu majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Wangsa Permai, Paya Jaras, Sungai Buloh seperti yang tersebar dalam media sosial semalam.

 

Beliau berkata, pakaian tersebut dikenakannya pada majlis berkenaan kerana sebelum itu beliau dimaklumkan oleh penduduk bahawa ia merupakan pakaian ala maharaja China.

 

“Keyakinan saya bahawa perayaan Tahun Baharu Cina adalah berbentuk perayaan masyarakat Cina. Sebab itu percaya pakaian itu adalah satu budaya dan tiada kena mengena dengan agama.

 

“Sebagai menghormati majlis budaya bangsa lain, saya tak menolak untuk memakainya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp di sini semalam.

 

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras bagaimanapun memohon ampun daripada Allah selain semua pihak yang tersinggung terhadap tindakannya mengenakan pakaian berkenaan dalam majlis itu.

 

Malah, beliau menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi Pas pusat untuk menentukan kedudukan atau tindakan terhadapnya ekoran daripada kejadian itu.

 

“Namun, saya yakin dengan kepimpinan ulama dalam parti itu yang lebih arif dari segi hukum dalam masyarakat majmuk seperti Selangor. Apa pun pandangan, saya akan terima,” ujarnya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.