Tunjukkan Kepada Saya Siapa Layak Ganti Hadi – Veteran Pas

BANGI: Veteran PAS Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok menggesa ahli serta pimpinan yang berhasrat menukar presiden parti agar ‘menunjukkan’ siapa individu yang layak untuk menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai peneraju.

 

Beliau yang mesra dengan panggilan ‘Pak Daeng’ mengakui kepimpinan Abdul Hadi ada kelemahan namun ia bukan alasan untuk menggantikan atau menukar beliau ke jawatan lain.

 

“Banyak orang bertanya kepada saya, kita nak tukar presiden ustaz…kenapa nak tukar presiden? Mereka kata banyak kelemahan seperti tak datang mesyuarat dan sebagainya.

 

“Tentang kelemahan presiden ustaz Hadi itu saya akui dan dapat kesan bersama, itu biasa dan kita nak tukar itu pun biasa…bukan satu jenayah atau kesalahan,” katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos baru-baru ini.

 

Sebelum ini ada cadangan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan parti 2015-2017 yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

 

Ini kerana Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti dan tidak wajar pada masa sama bertanding jawatan lebih rendah (presiden) bagi mengelak berlaku pertindihan kepentingan ketika menjalankan tugas.

 

Untuk rekod, Abdul Hadi mula menerajui PAS selepas mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 2002.

 

Siapa yang layak ganti Abdul Hadi?

 

Justeru tegas bekas Naib Presiden PAS ini, banyak faktor perlu dipertimbangkan sekiranya berhasrat untuk menukar presiden terutamanya dari aspek kelayakan untuk mengisi jawatan berkenaan.

 

“Tapi adakah kita nak tukar daripada yang tak baik kepada yang baik? Daripada yang baik kepada yang baik juga? Atau daripada yang baik kepada yang tidak baik? Itu pertimbangan kita.

 

“Sekarang tolong tunjukkan kepada saya, dalam ramai pimpinan PAS yang ulama, ustaz, profesional, ekstrem dan veteran tolong tunjukkan kepada saya yang lebih daripada ustaz Hadi.

 

“Sekarang tolong tunjukkan, tiada siapa yang boleh tunjukkan. Jadi bertitik tolak daripada situ pada saya buat masa ini pimpinan ustaz Hadi itu ada kelemahan tapi masih diperlukan oleh PAS,” katanya.

 

Daeng Sanusi menambah tidak nampak lagi pemimpin PAS yang layak mengisi jawatan itu sambil menambah kepimpinan Abdul Hadi masih diperlukan parti Islam itu.

 

“Belum nampak lagi penggantinya yang keperluan PAS lebih kepadanya kecualilah ditimbulkan sebab PAS ini tak pernah melatih ahlinya untuk menjadi presiden.

 

“Tidak pernah ada dalam PAS tetapi bila presiden tiada ada yang naik, bila timbalan presiden atau naib presiden tiada, ada yang naik,” katanya.

 

Ujar bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang ini lagi, tiada sesiapa yang sempurna namun setiap kekuatan serta kelemahan itu merupakan tunjang kehebatan seseorang pemimpin.

 

“Cuma perbezaannya adakah yang tiada itu lebih baik daripada yang naik itu atau yang naik itu lebih baik ataupun sama sahaja…tapi kesimpulannya semuanya ada kekuatan dan kelemahan.

 

“Janganlah nafikan semuanya kekuatan atau kehebatan, tiada kelemahan,” katanya.

 

Abdul Hadi akan terus terajui PAS

 

Mengulas lanjut, Daeng Sanusi terkilan dengan dakwaan wujudnya usaha untuk menyingkirkan Abdul Hadi daripada jawatan presiden menjelang pemilihan parti pada Jun ini.

 

“Ada sebahagian orang PAS nak memberhentikan ustaz Hadi daripada presiden ini dengan menukar posisi ataupun tempat.

 

“…dan ada pula sebahagian kecil pimpinan PAS serta akar umbi nak memberhentikan ustaz Hadi tanpa memikirkan tentang posisi atau kedudukan yang nak ditukar,” katanya.

 

Namun beliau mengakui dalam amalan demokrasi tiada ahli yang boleh menolak agar tidak berlaku pertandingan untuk jawatan nombor satu parti.

 

“Itu semuanya pada saya kalau dilihat dari segi demokrasi tiada masalah sebab memang dalam amalan demokrasi kita boleh mencalonkan, mencadangkan, membuat pengundian serta membuat proses pertukaran.

 

“Itu tiada apa-apa, biasalah cuma kedua-dua pandangan ini berjalan…jadi kalau begitu kita akan lihat pada Jun ini maka ada kemungkinannya akan ada pencalonan daripada kawasan-kawasan.

 

“Kalau ada pencalonan dan ada lebih pencalonan lebih seorang untuk jawatan itu maka berlakulah pertandingan dan bila berlaku pertandingan adalah yang kalah dan menang,” katanya.

 

Beliau bagaimanapun berkeyakinan kepimpinan Abdul Hadi akan diteruskan untuk mengharungi arena politik tanah air.

 

“Tapi PAS ini saya yakin walau apa pun yang berlaku PAS ini sebagai satu bahtera ia akan berterusan,” katanya. – Antara Pos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.