Siapa Dalang Pembikinan Video Kumpulan IS?

Oleh: Ahmad Fazlan

 

SELURUH masyarakat dunia terkejut dengan tindakan kejam kumpulan militan IS, melalui klip videonya, yang membakar sehingga mati Juruterbang Tentera Udara Jordan, Muath Kasasbeh, yang ditangkap pada 24 Disember tahun lepas, apabila jet pejuangnya dijatuhkan di Hamra Ghannam, Syria.

 

Durasi video selama 22 minit itu menunjukkan Muath diselubungi api di dalam kurungan di mana dia dikurung rentung dalam keadaan terduduk sehingga rebah ke tanah.

 

Fokus penulisan ini bukan menyentuh dasar perjuangan IS yang dianggap ‘sesat’, tetapi tumpuan dunia harus bertumpu kepada mengenal pasti siapa dalang pembikinan video terbabit.

 

Apa yang pasti, setiap klip video pembunuhan kejam IS itu, sama ada tembak, kelar dan bakar, penghasilan kualitinya setaraf filem!

 

Mana mungkin di kalangan anggota militan yang bersifat ‘radikal’ itu mempunyai daya kreativiti ‘filem’ daripada aspek pengarahan, cinematografi, teknikal dan suntingan, malah aspek pengendalian kameranya pun cukup mantap.

 

Contoh, visual laluan api yang dibakar seorang ahli IS lalu membakar juruterbang itu dapat diikuti dan dirakam dengan kesan ‘slow motion‘ sehingga turut ‘membakar’ emosi yang menontonnya.

 

Persoalannya, adakah IS juga turut merekrut penggiat produksi seni sebagai pasukan ‘media’ kumpulan itu, selain menarik ahli menganggotai tentera mereka?

 

Mungkin orang-orang ‘kreativiti’ ini pernah menuntut di universiti dan bekerja di syarikat-syarikat produksi filem di mana-mana negara, dan kepakaran mereka ditagih kumpulan IS lalu terpedaya dengan dakyah sesat mereka atas nama ‘jihad’ – bunuh tebusan, rakam dan sebar – yang menjanjikan syurga akhir nanti.

 

Perjuangan IS mungkin tidak sesekali akan terhenti. Lokasi rakaman pembunuhan setiap tebusan mungkin kelihatan sama, di padang pasir, namun siapa tahu selepas ini ‘filem’ ini berubah lokasinya di pulau, kawasan bangunan tinggal dan hutan, yang disifatkan menarik oleh si pengarah video itu.

 

Entah siapa pula yang menjadi mangsa kali ini. Apa pula ‘jalan cerita’ cara pembunuhan mereka selepas ini?

 

Diharapkan tidak ada rakyat Malaysia yang bekerja di belakang tabir pembikinan video kejam itu, sebagaimana kejayaan pasukan PDRM menggagalkan usaha mereka-mereka yang terkandas daripada menyertai atau membantu kumpulan ‘jihad sesat’ itu. – Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.