ROS Arah MIC Adakan Pemilihan Semula Semua Jawatan

Putrajaya – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan daripada Presiden hingga ke peringkat cawangan, bermula April hingga Julai ini.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah pemilihan semula itu perlu, untuk memastikan pertikaian dalam pemilihan bagi pemegang jawatan MIC, dapat diselesaikan secara menyeluruh.

 

“Kegagalan MIC untuk melaksanakan langkah yang ditetapkan ini boleh menyebabkan tindakan pembatalan di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 diambil terhadap parti ini,” tegasnya.

 

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media khas penjelasan isu ROS dan MIC, pada petang Isnin.

 

“Berikutan itu, MIC perlu mengadakan pemilihan semula peringkat cawangan pada April, pemilihan Presiden pada Mei, peringkat bahagian pada Jun, pemilihan sayap Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC antara April hingga Jun.

 

“Manakala pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Naib Presiden dan Timbalan Presiden serta Mesyuarat Agung diadakan pada Julai depan,” katanya

 

Tambah Ahmad Zahid lagi, ahli CWC MIC yang dipilih pada 2009 akan memegang jawatan selaku ahli CWC sementara, sehingga proses pemilihan semula parti itu selesai sepenuhnya.

 

Krisis dalaman MIC mula tercetus, selepas ROS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga Naib Presiden dan 23 Ahli CWC dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka, pada November 2013, susulan dakwaan wujud ketidakaturan serta pelanggaran perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

 

Dalam surat bertarikh 5 Disember tahun lalu, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tersebut dalam tempoh 90 hari, namun tidak menyatakan tarikh atau menentukan jangka masa ia perlu diselesaikan, seperti mana yang diumumkan Ahmad Zahid hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.