Remy Tolak Jadi ‘Bapa’

Petaling Jaya – Pelakon Remy Ishak terpaksa menolak tawaran yang menuntutnya memegang watak sebagai bapa kerana mengakui belum bersedia menghidupkan karakter tersebut.

 

Malah, dia juga menolak jika ditawarkan karakter yang jauh lebih muda daripada usianya kerana merasakan sudah tidak sesuai.

 

Kata jejaka berusia 33 tahun ini, bukan bersikap terlalu cerewet mahupun menganggap penampilan sebagai suatu yang eksklusif.

 

Sementelah sudah 10 tahun terbabit dalam bidang lakonan, dia harus memilih naskah dan skrip yang lebih matang sekaligus dapat mencabar kewibawaannya sebagai seorang pelakon versatil.

 

Meskipun menyedari ramai pelakon baru yang muncul ketika ini, Pelakon Lelaki Terbaik Filem ASK15 melihat ia sebagai satu persaingan sihat dan sedia memberi ruang kepada muka baru.

 

“Banyak tawaran saya terpaksa tolak sebab karakter yang saya dapat lebih kurang sama dengan karakter yang pernah saya lakonkan.

 

“Masih ada lagi tawaran yang menuntut saya menjadi pelajar kolej, saya tolak sebab sudah tidak sesuai dengan usia saya. Saya rasa peluang itu diberikan pada muka baru dan saya percaya pada rezeki.

 

“Selain itu, tawaran menjadi bapa pun ada tetapi saya belum bersedia dengan karakter sebegitu. Namun, baru-baru ini saya terima tawaran untuk drama Satu Hari, watak sebagai bapa muda dan itu sekadar mahu mencuba walaupun saya rasakan belum lagu menjadi bapa,” katanya kepada Malaysian Digest.

 

Mengenai perancangan kerjaya seni pada tahun ini, Remy menyatakan mahu lebih aktif dalam pementasan teater.

 

Terbaru, dia bakal muncul bersama produksi Revolution Stage berjudul Sekuntum Mawar Merah (SMM) bergandingan dengan Nadia Aqilah.

 

Teater arahan pengarah Khairunazwan itu akan dipentaskan di Theatre, Damansara Performing Arts Center (DPAC) pada 26 Februari sehingga 5 Mac ini.

 

“Tahun ini saya mahu aktif di pentas teater sebab lakonan pentas paling menguji dan mencabar kredibiliti seorang pelakon itu.

 

“Kalau dalam filem atau drama adakalanya emosi atau syot sesuatu lakonan itu kita boleh tipu tapi di pentas tidak dan tidak kira sama ada pentas kecil atau besar, impaknya tetap kuat.

 

“Apabila di teater, kita lebih megenali watak dan mendalami dialog. Teater juga saya jadikan sebagai kelas lakonan.

 

“Saya tak mahu leka. Ada banyak lagi yang saya perlu perbaiki dalam lakonan saya,” katanya.

 

Perkembangan lain, Remy baru selesai menjalani penggambaran program travelog untuk siaran Astro berjudul Hala 3. Dalam program tersebut Remy sebagai hos menjelajah ke beberapa tempat di sekitar Kuala Selangor, Perak dan Penang.

 

“Program ni boleh dikatakan macam program realiti iaitu saya menjelajah dan meneroka tempat menarik sepanjang perjalanan.

 

“Misalnya bila sampai di satu destinasi itu saya perlu melakukan kerja atau tugasan tapi kalau saya rasa tidak suka buat, saya boleh untuk tidak teruskan tugasan tersebut.

 

“Ini memberi pengalaman baru dan menyeronokkan seperti saya bermalam di rumah orang kampung.

 

“Ia berkonsep santai tentang kehidupan, budaya dan masyarakat di sesuatu tempat dan setiap tempat yang saya pergi pasti ada sejarah atau pernah ada pengalaman dan cerita di situ.

 

“Banyak tempat menarik ada cerita tersendiri. Dari segi pengacaraan saya, tidak formal sangat tapi lebih santai,” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.