PKR Kelantan Tak Puas Hati Dengan PAS

Kuala Lumpur – Tidak cukup dan kami mahu lebih. Itulah tuntutan PKR Kelantan terhadap PAS Kelantan yang tidak berpuas hati dengan peruntukan kerusi pihak berkuasa tempatan.

 

PKR Kelantan mendakwa kerajaan PAS negeri hanya memperuntukkan tiga daripada 23 kerusi Ahli Majlis untuk diisi dalam pentadbiran Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dan Majlis Daerah Rantau Panjang (MDRP).

 

Pemimpin PKR cawangan Bandar Pasir Mas, Zulkifli Kamaruddin memberitahu, PKR negeri itu selalu dianak-tirikan oleh kerajaan PAS dari segi jumlah calon untuk pilihan raya umum, pelantikan Penyelaras DUN mahupun Ahli Majlis Majlis Daerah di Kelantan.

 

Ia terbukti atanya, apabila proses pelantikan Ahli Majlis Majlis Daerah bagi dua daerah itu, PAS Kelantan hanya melantik dua dari PKR untuk MDPM dan seorang lagi untuk MDRP, sedangkan PAS menguasai 20 kerusi di dua Majlis Daerah itu.

 

“Dalam pelantikan kelmarin, PAS melantik 10 ahli mereka untuk kerusi Ahli Majlis MDPM dan 10 lagi bagi memenuhi kerusi Ahli Majlis MDRP, sedangkan PKR hanya tiga orang sahaja.

 

“Ketika PAS dan PKR bergabung di Kelantan tahun 2008, PAS berjanji akan berlaku adil kepada PKR, tetapi pada pilihan raya umum tahun 2013 lagi PAS sudah menunjukkan ketidakadilannya,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

 

Zulkifli berkata, parti PKR dan ahli-ahlinya di Kelantan selalu dikecewakan oleh PAS Kelantan dalam pembahagian semua kuota pentadbiran dalam kerajaan negeri, seolah-olah kewujudan PKR tidak penting bagi PAS.

 

“Inilah kaedah pembahagian dan pengagihan kuasa Pakatan Rakyat (PR) di Kelantan dan tidak munasabah dua di Pasir Mas dan seorang di Rantau Panjang. Berilah lebih sedikit,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.