Penghinaan Ditujukan Kepada Kerajaan Islam PAS Kelantan – Dr Ridhuan Tee

Selebriti dakwah, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyifatkan video sempena Tahun Baru Cina Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai “lakonan yang meloyakan”.

 

Menurut beliau, lakonan dalam klip video 5 minit bertajuk “1 goat year, 1 great family, lakonan ultra kiasu dan PAS Shah Alam” sama dengan lakonan para pemimpin DAP yang merakam gambar ketika melawat mangsa banjir di Kelantan baru-baru ini untuk tujuan publisiti.

 

Katanya, beliau terkejut menonton klip video tersebut yang memperlihatkan lelaki dan perempuan duduk di atas kerusi seperti pengantin bersanding.

 

 

Kolumnis Sinar Harian itu menyindir, “bukan main rapat lagi duduknya dengan ‘gadis-gadis comel’ di situ. Nasib baik ada sebiji bantal yang memisah. Jika tidak sudah macam orang bersanding pulak.”

 

Pensyarah dan profesor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu juga melahirkan rasa pelik dengan sikap pemimpin PAS dalam klip video itu.

 

“Sejak bila orang PAS ini pandai berlakon dan bersosial? Jika marahkan sangat pada kerajaan hari ini, tidak payah sehingga menggadaikan prinsip. Hodoh sangat rupanya. Mungkin boleh dicalonkan untuk anugerah skrin,” perlinya sekali lagi.

 

Dalam kolumnis beliau yang diterbitkan oleh Sinar Harian hari ini, Dr Ridhuan turut menganggap keputusan mahkamah terhadap kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak penting kepada Malaysia.

 

Tegas beliau, ia tidak memberi sumbangan kepada Islam tetapi perkara yang penting ialah “masa depan agama, bangsa dan negara mesti diperkasakan.”

 

Begitu juga mengenai pengganti Ketua Pembangkang itu mengetuai Pakatan Rakyat, jelasnya, yang penting orang itu “tidak boleh tunduk kepada ultra kiasu yang semakin hari semakin agresif dan celupar mulutnya. Islam dicerca, perlembagaan dihina.”

 

Kata beliau, “Lihat sahaja isu banjir. Pemimpin ultra kiasu begitu bongkak mengatakan rakyat Kelantan seperti tiada kerajaan ketika banjir. Penghinaan itu bukan hanya ditujukan kepada kerajaan Islam Kelantan diterajui Pas semata, tetapi kepada raja yang berdaulat.”

 

“Saya harap mungkin suatu hari nanti, bandar raya Pulau Pinang akan diuji sedemikian rupa. Kita nak tengok juga sejauhmana ultra kiasu ini pandai mengurus negerinya ketika banjir. Bukanlah mendoakan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.