Pemikir Wujudkan Rantaian Bekalan Halal

Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir) akan mewujudkan rantaian bekalan halal sebagai alternatif kepada pengguna untuk mendapatkan barangan pada harga rendah.

 

Anggota Majlis Tertinggi Datuk Dr Affifudin Omar berkata langkah itu berdasarkan rungutan pengguna baru-baru ini berhubung harga barangan yang tinggi walaupun harga minyak turun.

 

Beliau berkata Pemikir memutuskan untuk mewujudkan rantaian bekalan fizikal di sepanjang Lebuhraya Plus dan seterusnya, Lebuhraya Pantai Timur.

 

“Kami dalam proses menyiapkan kertas kerja berkaitan projek tersebut. Sebaik selesai, kami akan mengemukakannya kepada institusi seperti bank dan badan-badan kawal selia kerajaan serta mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan.

 

“Kami berharap kerajaan akan membantu kami dalam usaha ini, dan kami akan mula dengan pembiayaan swasta,” katanya kepada Bernama.

 

Affifudin berkata rantaian bekalan itu tidak terhad kepada umat Islam sahaja tetapi turut dibuka kepada mereka yang bukan Islam.

 

“Kami mengalu-alukan kepada mereka yang mahu meraih manfaat daripada etika perniagaan Islam. Bukan Islam sahaja, tetapi agama lain juga, seharusnya menentang sikap tamak dalam perniagaan,” katanya.

 

Beliau turut berharap kerajaan negeri akan menyediakan lokasi untuk depot halal yang akan diwujudkan.

 

“Setakat ini, hanya kerajaan negeri Perak dan Johor menunjukkan minat dalam usaha ini,” katanya.

 

Affifudin berkata idea untuk mewujudkan rantaian bekalan halal akan dapat meningkatkan penyertaan perniagaan Bumiputera antara 30 dan 40 peratus.

 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil dalam rantaian bekalan dan pelbagai agensi tidak lama lagi untuk menangani isu harga barangan yang tinggi.

 

Pertemuan itu untuk mendapatkan gambaran sebenar daripada pengeluar dan pembekal serta penjelasan sebab mereka tidak dapat menurunkan harga.

 

Muhyiddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup berkata isu tersebut memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.