Pemain Tertekan

HAMPIR dua bulan tahun 2015 membuka tirai, tiada banyak khabar gembira dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

 

Sebaliknya satu persatu berita duka yang perlu ditelan oleh badan induk negara itu.

 

Bukan sahaja prestasi pemain meresahkan peminat badminton, tetapi kini pemain lari dilihat semakin sinonim dengan badan induk itu.

 

Selepas dikejutkan dengan keputusan Ng Hui Lin-Ng Hui Ern (beregu wanita), Ong Jian Guo (beregu campuran) serta Yang Li Lian (perseorangan wanita) keluar daripada BAM, kini mereka sekali lagi menerima tamparan terbaru apabila pemain beregu lelaki senior, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah pula mengesahkan akan mengikuti jejak langkah rakannya itu.

 

Walaupun alasan yang diberi setiap pemain berkenaan berbeza, namun melihat situasi yang berlaku, penulis merasakan ada masalah dalaman dalam pengurusan BAM sehingga menimbulkan rasa kurang tidak puas hati dalam kalangan pemain.

 

Ini juga diakui bekas pemain naungan BAM, Mohamad Arif Abdul Latif yang memberi gambaran bahawa suasana kurang gembira memang membelenggu kem negara ketika ini.

 

Melemahkan semangat

 

Menurut Arif, walaupun BAM telah membuat keputusan yang positif dengan menaikkan elaun para pemain, namun dia tidak menolak kemungkinan pemain yang mengambil keputusan meninggal badan induk itu kerana tertekan seperti mana yang dialaminya sebelum ini.

 

“Dalam BAM bukan tidak bagus sebenarnya, tapi disebabkan tekanan pihak atasan dan jurulatih, itu yang membuatkan pemain tak selesa dan buat keputusan untuk keluar. Itu yang terjadi kepada saya dulu.

 

“Kerana bila tekanan, kita tak boleh nak fokus dan ia menjejaskan persembahan kita. Sedangkan dalam BAM ada KPI yang perlu dicapai.

 

Jika tak capai, BAM pula mengurangkan penyertaan pemain pada kejohanan-kejohanan berstatus antarabangsa dan tindakan itu sememangnya melemahkan semangat pemain untuk terus aktif.

 

“Kadangkala kita sudah meletakkan sasaran untuk menyertai kejohanan tertentu tetapi akhirnya nama tidak disenaraikan. Keadaan itu mungkin mengecewakan pemain,” katanya ketika ditemui di Arena Of Star, Genting Highlands semalam.

 

Perancangan terjejas

 

Tindakan ini bukan saja mengejutkan BAM malah, memeningkan kepala ketua jurulatih beregu, Jeremy Gan dan jurulatih beregu lelaki Pang Cheh Chang menjelang beberapa kejohanan besar serta mencari mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

 

Thien How kini berpasangan dengan Tan Boon Heong yang bergelut masalah kecederaan manakala Khim Wah pula bergandingan dengan pemain muda, Ow Yao Han.

 

Kini BAM hanya boleh bersandarkan kepada gandingan utama Goh V Shem-Tan Wee Kiong, itu pun jika salah seorang daripada mereka tidak mengalami kecederaan teruk.

 

Malah, Persiapan menjelang saingan Piala Sudirman di Dongguan dari 10 hingga 17 Mei serta Sukan Sea 2015 Singapura (Jun) sudah pasti sedikit terjejas. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.