PDRM Pantau Individu Disyaki Berkaitan Kumpulan IS – Zahid Hamidi

Port Dickson – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan Negara Islam (IS) dengan cuba merekrut dan mendapatkan pembiayaan melalui media sosial.

 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PDRM sudah memperoleh senarai syak dan pihak terbabit memantau serta mengekori pergerakan mereka.

 

“Kita memantau mereka bukan saja dalam soal merekrut tetapi juga soal pembiayaan dan pengumpulan dana bagi menghantar bakal pengganas ke Iraq dan Syria.

 

“Berikutan itu, kita melaksanakan kerjasama dengan negara jiran termasuk Indonesia, Filipina, Singapura dan Myanmar untuk memastikan rantau Asia selamat dan juga tidak menghantar bakal pengganas ke negara berkenaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Mesyuarat Meja Bulat Dasar Keselamatan Dalam Negeri di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM), di sini, semalam.

 

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

 

Zahid berkata, kerajaan turut mengutuk tindakan kejam kumpulan militan IS membakar hingga mati Muath Kasasbeh, juruterbang tentera udara Jordan yang ditawan apabila pesawatnya terhempas di Hamra Ghannam, Syria.

 

Katanya, tindakan kejam itu bukan cara Islam dan ia sungguh memalukan, malah negara juga tidak merelakan mana-mana agamab dan keturunan menjadi mangsa pengganas.

 

Ditanya mengenai tindakan negara yang berusaha keras menghalang kewujudan individu menyertai kumpulan IS, beliau berkata, langkah itu diambil demi keselamatan negara. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.