Nuar Ayam, Dua Rakan Masih Berada Di Kelantan

KOTA BHARU 8 Feb. – Polis percaya suspek utama yang dikenali sebagai Nuar Ayam bersama dua lagi rakannya yang dipercayai terlibat kes rompakan dan tembak di sebuah kedai perkakasan di Kampung Beris Lalang, Bachok, Khamis lalu masih berada di negeri ini.

 

Sehubungan itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim menegaskan, usaha memburu Nuar Ayam yang disifatkan sebagai sangat berbahaya dan dikehendaki polis berhubung empat rekod jenayah berkaitan rompakan di negeri ini serta Shah Alam, Selangor serta dua suspek lain itu akan terus dipertingkatkan.

 

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah mendapat petunjuk awal bagi mengesan suspek termasuk melaksanakan operasi khas dengan memperketatkan kawalan di pintu masuk sempadan negara bagi mengelak suspek lolos ke negara jiran.

 

“Kita percaya kesemua suspek berkenaan merupakan rakyat tempatan berdasarkan dialek Kelantan yang digunakan dalam pertuturan dan hasil soal siasat yang dijalankan terhadap saksi.

 

“Mereka masih lagi berada dalam negeri ini dan usaha menangkap suspek pa­ling dikehendaki itu akan terus diperhebat di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita selepas melawat salah seorang mangsa kejadian itu, Ainul Wahida Mustafa, 18, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini hari ini.

 

Dalam kejadian Khamis lalu, seorang peniaga, Mustaffar Sidek, 52, maut selepas terkena dua das tembakan yang dilepaskan oleh salah seorang daripada tiga penjenayah dalam kejadian pada pukul 5.45 petang.

 

Mangsa yang terkena tembakan pada bahagian perut dan paha di­sahkan meninggal dunia dua jam kemudian ketika dalam perjalanan ke HUSM.

 

Dalam kejadian tersebut, anak mangsa, Ainul Wahida turut mengalami kecederaan pada bahagian lutut kanan akibat terkena serpihan peluru yang dilepaskan penjenayah manakala isteri Mustaffar bersama seorang pekerja digari.

 

Mazlan memberitahu, hasil siasatan awal yang dijalankan, pihaknya juga percaya kejadian itu bermotifkan samun kerana suspek terus masuk ke kedai dan meminta wang namun tidak berpuas hati kerana hanya memperoleh RM1,000.

 

“Kita juga bertindak menyerbu kediaman suspek namun mereka tiada di rumah kerana mengetahui polis sedang memburu mereka,” katanya.

 

Dalam pada itu, Mazlan turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.

 

“Tindakan itu perlu dalam usaha memberkas suspek agar segera dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.