MLM 2014: Gugurnya Air Mata Ahli Kumpulan ZERO

Berjaya menggeletek hati ramai dengan persembahan selamba mereka, Zero akhirnya membuat penonton di Stadium Putra Bukit Jalil dan di rumah, Jumaat lalu, menitiskan air mata apabila mereka menyanyikan lagu ‘Ayah’ pada hujung persembahan pada segmen kedua.

 

Ketika itu Syaiful dan Atu dilihat menitiskan air mata dan meletakkan muka di bahu Sharif. Jeritan ketawa berganti dengan emosi sedih. Bahkan Fazura dan Taufik selaku juri tetap turut kelihatan sebak.

 

Menerusi persembahan menghiburkan serta penuh drama ini, Zero yang dianggotai Sahrif Kadil Doli Sahrif, 25, Mohammad Syaiful Doli Sahrif, 27, dan Sharif Kunal Doli Sahrif, 23, memperoleh keseluruhan 10 bintang, sekali gus menjuarai Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014, membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

 

Tempat kedua diraih Sepahtu, Nabil (ketiga), Shiro (keempat) dan Bocey di tempat kelima.

 

Siapa sangka ada cerita duka di sebalik kejayaan yang dikecapi. Bagaimanapun, elemen sedih itu menjadi pertikaian segelintir pihak yang mendakwa Zero menggunakan elemen simpati bagi meraih kemenangan ini.

 

Ditemui pada sidang media selepas itu, Zero memberitahu mereka bukan mempertaruhkan elemen itu untuk memancing undi mahupun simpati juri, sebaliknya cuba berlaku jujur pada diri sendiri.

 

“Niat kami masuk MLM memang nak cari duit dan merancang mahu menghantar emak pergi haji, membaiki rumah serta untuk kegunaan Syaiful kahwin. Zero tidak mengharapkan simpati dan kami tak kisah dapat nombor berapa pun kerana hasrat nak hantar emak mengerjakan haji tetap akan dikotakan,” kata Sharif.

 

Selepas menduduki tempat kedua Raja Lawak musim keenam, Sharif dan Syaiful terpaksa pulang ke Sabah dan melupakan aktiviti seni buat seketika selepas bapa mereka meninggal dunia pada 2012.

 

“Kami selitkan nostalgia mengenai ayah kerana Atu tak sempat bertemunya ketika dia meninggal kerana dia terbabit dengan Fear Factor Selebriti ketika itu. Hanya Atu yang aktif di Kuala Lumpur, tetapi kami bersyukur kerana dia tetap bawa nama Zero dimana-mana.

 

“Selepas kemenangan ini, Zero berjanji akan terus berkarya untuk peminat kerana kami tahu mereka dahagakan persembahan kami,” kata Sharif yang mengakui seakan-akan tidak percaya apabila nama Zero disebut sebagai juara.

 

Apapun Zero berterima kasih kepada peserta lain terutama Sepahtu dan Nabil serta Astro dan peminat yang memberi sokongan moral kepada mereka terutama selepas mengalami penurunan prestasi selama dua minggu.

 

Kongsi kisah silam

 

Mengimbas kisah lalu, Sharif mengakui kehidupan keluarga mereka di Kampung Pantai Bahagia, Kudat, agak daif. Dia bekerja sebagai nelayan dan banyak menghabiskan masa di laut.

 

“Boleh dikatakan hampir 20 jam sehari masa saya dihabiskan di laut. Selepas masuk Raja Lawak, ada perubahan berlaku, tetapi undangan show masih perlahan. Dengan kemenangan MLM ini, kami akan terus fokus pada karier dan akan menetap di Kuala Lumpur. Kami ada lagi empat beradik di kampung.

 

“Emak ada bercadang nak berpindah ke sini, tetapi dia susah nak berjauhan dengan saudara-maranya pula,” katanya yang turut menyifatkan kemenangan ini sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya pada 31 Januari lalu.

 

Seperti yang dicanang sebelum ini, Syaiful pula mengakui akan mengakhiri zaman bujangnya dengan gadis bernama Asyura pada Mac atau April ini.

 

Sepahtu dan Nabil akur kemenangan Zero

 

Biarpun bergelar penyandang juara musim lalu, Sepahtu yang dianggotai Jep dan Shuib akur dengan kemenangan Zero.

 

“Tiada pasukan ‘underdog’ kerana semua peserta hebat. Zero ada berjumpa saya pada minggu kelima dan beritahu hasrat nak terus bersaing kerana niat nak hantar emak pergi haji dan buat rumah.

 

“Saya mengakui impian mereka sangat bagus. Kami dah pernah mengecapai kemenangan dan jika mereka buat yang terbaik apa salahnya mereka menang,” kata Jep dan Shuib yang berpuas hati menduduki tempat kedua.

 

Nabil juga mengakui Zero layak menang kerana mereka menampilkan persembahan terbaik.

 

“Zero sangat ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam kerjaya mereka. Saya bersyukur dan berpuas hati kerana menduduki tempat ketiga. Ini rezeki anak kedua saya yang bakal lahir,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.