Lelaki Maut Diserang Jerung

Sydney – Seorang lelaki terbunuh selepas diserang oleh jerung di timur Australia, sehari selepas seorang peluncur mengalami kecederaan yang serius di kawasan yang sama pada Isnin, lapor agensi berita AFP.

 

Polis berkata, lelaki itu meninggal dunia di Pantai Shelly berhampiran Ballina, kira-kira 730 kilometer (452 batu) utara Sydney.

 

“Seorang lelaki telah meninggal dunia selepas dia ditarik keluar dari pantai dan mengalami kecederaan teruk, dipercayai akibat serangan jerung di pantai utara negeri pagi ini,” kata polis negeri New South Wales.

 

Sekumpulan peluncur cuba membantu untuk mengeluarkan lelaki yang cedera itu dari air dan memberikan bantuan kecemasan, tetapi tidak berjaya.

 

“Lelaki itu masih belum dapat dikenal pasti pada peringkat ini,” kata polis.

 

Pantai di kawasan itu ditutup selepas berlakunya kematian ini, yang berlaku hanya sehari selepas seorang lelaki berusia 35 tahun diserang ketika berada di atas papan luncurnya di Pantai Seven Mile, berhampiran Byron Bay, hanya 30 kilometer dari utara Ballina.

 

Peluncur tersebut telah dibawa ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

 

Serangan jerung di perairan Australia menjadi perkara biasa, dengan perenang dan peluncur telah berdepan risiko tersebut pada musim panas ini

 

Bagaimanapun, jarang berlaku kematian akibat serangan tersebut, dengan hanya dua remaja meninggal dunia dalam serangan jerung pada bulan Disember, satu di pantai barat dan satu di sebelah timur.

 

Pakar-pakar dilaporkan berkata, serangan jerung semakin meningkat seiring dengan perkembangan populariti sukan air di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.