Ketua Polis Arah PDRM Siasat Adun DAP Pertikai Khutbah Jumaat Mengenai Aurat

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, Chong Eng berhubung  kenyataannya yang mengkritik khutbah Jumaat mengenai isu tutup aurat wanita bagi mengelakkan daripada dirogol.

 

Khalid melalui laman twitter berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan terhadap kenyataan ADUN DAP itu dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

 

“PDRM telah berkali2 ingatkan supaya hati-hati membuat komen yang sensitif, yang menyentuh Agama, tetapi tidak juga diendahkan” ujarnya sebentar tadi.

 

Dibawah Seksyen 298 (1) (a) menyatakan sesiapa yang melalui percakapan, isyarat atau sesuatu yang merosakkan keharmonian, perpaduan atau mencetus kebencian terhadap agama boleh dihukum penjara dua ke lima tahun dan ia terpakai kepada semua kaum dan tidak eksklusif kepada orang Islam sahaja.

 

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Wanita Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesej khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menunjukkan berat sebelah lelaki dalam kepimpinan agama.

 

“Malangnya, khutbah Jais memberi maklumat mengelirukan, tidak bertanggungjawab, kurang hormat dan jelas berat sebelah lelaki (kerana) mesej tutup aurat langsung tidak membantu mangsa wanita dari segi serangan seksual dan penderaan.

 

“Sebaliknya, ia mengalihkan kesalahan dan tanggung jawab mencegah jenayah seksual ke atas mangsa dan bukannya orang yang menyerang,” katanya.

 

Chong turut berkata, penekanan JAIS terhadap aurat wanita dan menyalahkan mangsa itu menunjukkan kepimpinan agama di Malaysia tidak sensitif terhadap isu gender.

 

Beliau turut mengesa agar usaha yang konkrit dapat dijalankan bagi meningkatkan perwakilan wanita dalam semua sektor, terutama kepimpinan agama.

 

Chong yang juga wakil rakyat DUN Padang Lalang dan bekas Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, rogol membabit perkara lebih rumit daripada kegagalan wanita untuk menutup aurat.

 

JAIS di dalam teks khutbah Jumaat bertajuk “Aurat: Antara Kebebasan dan Maruah Diri” Jumaat lalu, menjelaskan wanita Muslim wajib menutup aurat bagi mengelakkan daripada diganggu secara fizikal atau mental, bagi mengelakkan fitnah, pandangan jahat dan perkara yang buruk.

 

Kejadian seperti rogol, zina dan sumbang mahram boleh dielak jika wanita menutup aurat, menurut teks khutbah tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.