Kerajaan Sarawak Dapatkan Kerjasama Rela Banteras Pembalakan Haram

KUCHING 8 Feb. – Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membantu membanteras aktiviti pembalakan haram di negeri ini.

 

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau memandang serius aktiviti pembalakan haram dan operasi penguatkuasaan bagi mengesan serta membendung kegiatan tersebut sedang giat dijalankan sejak enam bulan lalu.

 

Beliau berkata, ketika ini, usaha pembanterasan terhadap kegiatan haram itu dijalankan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

 

“Jadi, kita akan mendapatkan bantuan sokongan daripada anggota Rela untuk membantu dalam operasi pembanterasan ini.

 

“Anggota Rela boleh membantu dengan menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat jika mengetahui berlaku aktiviti pembalakan haram di sesuatu kawasan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Rela Ke-43 Peringkat Kebangsaan di Batu Kawah di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Rela, Tuan Lekeman Saaid.

 

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

 

Mengulas lanjut, Adenan berkata, usaha lain turut dilakukan oleh kerajaan negeri untuk menangani pembalakan haram antaranya tidak memperbaharui lebih separuh daripada lesen pembalakan sementara Occupational Ticket (OT) dan mengurangkan kawasan pembalakan baharu.

 

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengumumkan sumbangan RM2 juta untuk membeli pakaian seragam baharu kepada anggota Rela Sarawak pada tahun ini iaitu tambahan RM1 juta lagi berbanding tahun lalu.

 

“Sumbangan RM2 juta ini adalah berbaloi dengan pengorbanan dan jasa lebih 224,000 anggota Rela di negeri ini kerana sentiasa ada bersama kerajaan untuk membantu masyarakat jika keadaan memerlukan,” ujarnya.

 

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya pula memberitahu, kementerian menyasarkan untuk menambah jumlah anggota Rela seramai 224,918 orang di Sarawak kepada 500,000 menjelang akhir tahun ini.

 

Selain itu, katanya, beliau akan menulis surat kepada Ahli Parlimen di negeri ini untuk mendapatkan sumbangan RM100,000 bagi membeli pakaian seragam kepada anggota Rela. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.