Kami Di MRSM Tidak Pernah Ada Masalah Perkauman

Walaupun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditubuhkan untuk pelajar bumiputera, pelajar bukan Islam dan bumiputera dari Sabah dan Sarawak sudah lama belajar di MRSM. Sejak lebih 30 tahun dulu, sudah ada pelajar bukan Melayu dan bukan Islam di MRSM.

 

Kami hidup dengan harmoni dan macam adik beradik. Kalau kami berpuasa, mereka tetap dihidangkan makanan seperti biasa. Tetapi ramai yang tumpang bangun sahur dan berbuka puasa bersama kami. Tidak ada siapa paksa siapa.

 

Soal agama tidak pernah jadi isu, dan tidak terfikir langsung pada zaman itu untuk sentuh pasal agama sesiapa.

 

Peraturan MRSM dari dulu sampai sekarang sama saja. Kalau rasa MRSM tidak sesuai, keluarkan anak dari situ. Ramai lagi yang nak masuk. Kalau banyak duit pergi ah hantar anak ke private school, buat apa nak belajar kat MRSM yang tidak seberapa itu berbanding private schools dan sekolah berprestij lain.

 

Kalau tidak mampu, bersyukurlah sebab MRSM adalah antara sekolah yang lengkap kemudahan dan mempunyai guru-guru yang sangat berdedikasi, dan sentiasa memastikan kualiti akademik yang tinggi.

 

Ramai anak anak Melayu bumiputra dan beberapa bukan Melayu hari ini menjadi peneraju korporat, saintis, pakar perubatan di dalam dan luar negara dan sebagainya berkat belajar di MRSM.

 

Zaman dulu tidak ada politik. Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat dan dua tiga orang menteri pada masa itu ada juga menghantar anak mereka ke MRSM.

 

Mereka juga mahukan anak mereka dididik sama seperti anak-anak lain yang ibubapa adalah pesawah, nelayan, dan penoreh getah dari kampung.

 

Tidak pernah Tun Mahathir atau Tok Mat masuk campur atau pertikai urusan MRSM. MARA tahu apa yang terbaik untuk pelajar.

 

Hari ini apa saja tak puas hati, panggil orang politik. Benda kecil nampak besar buruknya pada media apabila dicanangkan ke seluruh dunia. Benda baik sebesar gunung tak pernah pula nak mereka hebahkan.

 

Bersyukurlah anak anda dapat belajar di MRSM walaupun mungkin tidak semewah sekolah yang sudah diwujudkan lebih 100 tahun. Orang kampung ibupaba MRSM tidak ada sekolah bagus bagus macam CBN, St John, Penang Free School, Malacca High School, Anderson, King Edwards, Cliffords.

 

Nak cari sekolah setaraf Jalan 4 Bangi pun jauh sekali.

 

Memasukkan senjata politik dalam pendidikan seperti ini adalah berbahaya dan kurang bijak, dan keluarlah dari sistem ini kerana peluang dan alternatif ada.

 

Tidak ada sesiapa memaksa anda memasukkan anak ke MRSM Fahamilah falsafah pendidikan negara, dan fahamilah kenapa MRSM diwujudkan.

 

Jangan tunjukkan kebebalan dan kebodohan. Kami di MRSM tidak pernah ada masalah agama atau perkauman. Kawan kawan kami, tanpa kira bangsa atau agama, adalah adik beradik kami. – MalaysiaGazette

 

MRSM - Darren Lai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.