CBP Mampu Turunkan Harga & Tingkat Kuasa Membeli Rakyat – Penganalisis

Pendekatan kerajaan memperluas skop barangan keperluan dan perkhidmatan asas dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) bukan hanya mampu menurunkan harga barang dan meningkatkan kuasa membeli rakyat, malah dapat menangkis dakwaan pakatan pembangkang bahawa pelaksanaan cukai baharu itu membebankan rakyat.

 

Sebaliknya, pengecualian CBP dalam barangan keperluan asas seperti petrol dan diesel, ubat-ubatan serta peningkatan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kebajikan rakyat.

 

Profesor ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata keinginan rakyat berbelanja meningkat berikutan harga barangan keperluan dan perkhidmatan asas yang tidak dikenakan CBP akan turun.

 

“Ini memberikan satu nikmat yang besar kepada rakyat, terutama penduduk luar bandar, dan pada masa yang sama mampu merancakkan lagi aktiviti perniagaan,” katanya kepada Bernama.

 

Dalam ucapan pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersetuju meluaskan skop barang yang tidak dikenakan CBP. Sistem percukaian baharu itu akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan.

 

Najib berkata daripada 944 barang dan perkhidmatan yang terdapat dalam ‘kumpulan barangan’ Indeks Harga Pengguna, 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus.

 

Mengulas lanjut, Amir Hussin berkata pertumbuhan ekonomi negara akan terus berkembang pesat menerusi perbelanjaan oleh rakyat dalam pasaran, sekali gus menyumbang semula ke dalam aliran pendapatan negara.

 

Beliau berkata inflasi tidak akan berlaku menerusi kutipan cukai baharu berkenaan sekiranya para peniaga tidak mengambil kesempatan.

 

Sementara itu, Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr Mohd. Fuad Mat Jali berkata CBP akan berhasil jika semua industri bekerjasama melaksanakannya.

 

Mohd Fuad berkata pakatan pembangkang juga tidak seharusnya menjadikan isu CBP sebagai modal untuk menarik perhatian rakyat dengan memanipulasikan fakta sebenar sistem percukaian yang jelas bermanfaat untuk pembangunan negara.

 

“Bagaimanapun, sebagai rakyat yang bijak, kita harus berfikir secara rasional dengan mengkaji terlebih dahulu sama ada benar atau tidak fakta yang diutarakan,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Unit Teknikal CBP Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia Mohd Rozlan Mohamed Ali berkata sistem percukaian baharu ini bersifat cukai kepenggunaan yang mampu mendorong kestabilan ekonomi negara.

 

Mohd Rozlan berkata menerusi pelaksanaan CBP ini, pematuhan cukai daripada kalangan penggiat industri akan lebih tinggi, sekali gus menyokong peningkatan pendapatan kerajaan.

 

“Justeru, hasil kutipan cukai ini nanti boleh disalurkan kepada rakyat, terutama dalam soal pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan mereka,” katanya.

 

Mohd Rozlan berkata rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, tidak akan terbeban menerusi pelaksanaan sistem cukai baharu itu, namun ia tetap bergantung kepada sikap membeli rakyat sendiri berdasarkan kemampuan mereka.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SMI Malaysia) Michael Kang berkata perluasan skop barangan dikecualikan CBP akan menjadikan aktiviti perniagaan IKS lebih aktif kerana dapat membantu pengusaha mendapatkan bekalan pada kadar yang lebih rendah.

 

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Datuk Mohamad Alayuddin Che Hasan menyuarakan kebimbangan terhadap peniaga yang berkemungkinan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan yang tidak dikenakan CBP.

 

Katanya sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab bijak mencari pelbagai alasan seperti menjadikan kenaikan harga minyak sebagai faktor untuk menaikkan harga produk jualan mereka.

 

Justeru, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj menyarankan kerajaan mewujudkan mekanisme lebih efisien bagi memastikan hak pengguna dilindungi daripada penggiat industri yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati menerusi pelaksanaan CBP.

 

“Mekanisme itu termasuk mewujudkan ‘pusat panggilan’ bagi memudahkan pengguna membuat aduan sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab menaikkan harga barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan CBP,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.