Buta Tetapi Terang Hati

Johor Bahru: Meskipun mempunyai masalah penglihatan, tiga sahabat orang kurang upaya (OKU) teruja dapat menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Sains di Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTMSPACE).

 

Mohd Hairie Aris, 30 dari Jelebu, Negeri Sembilan; Mohamad Zaki Mohamed, 33, serta Mohd Nasir Mohd Yusoff, 32, dari Kuala Terengganu, Terengganu, berkawan baik sejak 20 tahun lalu ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth sebelum menyambung pengajian di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dan Institut Pengajian Guru Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.

 

Menurut Mohamad Zaki yang mengajar di Sekolah Rendah Agama Masjid Negara Kuala Lumpur, dia mengajak Mohd Hairie dan Mohd Nasir menyambung pengajian di UTMSPACE dan mereka sepakat memilih jurusan yang sama bagi memudahkan pembelajaran.

 

“Niat kami menyambung pengajian bukan untuk mengejar pangkat, tetapi menambah pengetahuan dan kemahiran.

 

“Kalau boleh, kami mahu membuktikan kepada masyarakat kekurangan diri bukan penghalang untuk berjaya,” katanya ketika ditemui selepas majlis Aluan dan Pendaftaran Mahasiswa Baru Pengajian Separuh Masa UTM Space, kelmarin.

 

Majlis itu disempurnakan Pengarah Urusan merangkap Dekan Pusat Separuh Masa UTM Space, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

 

Sementara itu, Mohd Hairie berkata, dia kini perlu membahagikan masa antara keluarga, kerjaya dan pelajaran.

 

“Sebelum ini, tumpuan kepada kerjaya dan keluarga tetapi kini keadaan ini berubah selepas saya menyambung pengajian,” katanya.

 

Sementara itu, Dr Mohd Azraai berkata bagi pengambilan Februari tahun ini, 803 calon ditawarkan melanjutkan pengajian dalam pelbagai jurusan di peringkat Sarjana Muda Separuh Masa.

 

“Berpengalaman lebih 21 tahun, UTMSPACE berjaya membuka 18 buah pusat pembelajaran di seluruh negara dan mengekalkan kemasukan pelajar melebihi 7,000 orang setiap semester.

 

“Peningkatan kemasukan dan permohonan yang memberangsangkan menjadi bukti masyarakat berpuas hati dengan UTMSPACE,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.