Bila Selalu Jadi Jahat, Saya Sudah Biasa Dibenci – Nadia Aqilah

Petaling Jaya – Pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah mengakui cukup senang bila ditawarkan watak antagonis kerana karakter sebegitu memberi kepuasan kepada diri sebagai seorang pelakon meskipun dibenci penonton.

 

“Setiap karakter jahat yang saya bawa memberikan kelainan. Watak saya ada sebabnya kenapa saya perlu nampak jahat.

 

“Sebelum saya lakonkan karakter jahat itu, saya akan cari jahat yang macam mana pengarah mahu saya berikan.

 

“Bila selalu jadi jahat, saya sudah biasa kalau penonton benci atau meluat dengan saya. Masa awal dulu risau juga bila peminat nampak diluar, mereka benci saya tapi sekarang saya sudah tidak kisah.

 

“Kalau orang benci maksudnya penghayatan saya menjadi”, kata kepada Malaysian Digest ketika ditemui pada sidang media Teater Sekuntum Mawar Merah (SMM) baru-baru ini.

 

Begitupun, pelakon drama popular, Kerana Terpaksa Aku Relakan dan Tari Tirana ini menyatakan sentiasa mahu mencuba watak selain antagonis.

 

“Saya teringin berlakon genre romantik komedi tetapi setakat ini belum ada tawaran lagi.

 

“Namun, saya bersyukur sebab tawaran belakon tu tidak putus dan saya pula tidak memilih sangat. Apa yang penting, saya menjaga kualiti kerja saya,”katanya.

 

Bercerita tentang penglibatannya dalam teater SMM, Nadia memengang watak sebagai Mawar bergandingan dengan Remy Ishak yang membawakan watak Rashid.

 

Katanya, walaupun sudah biasa terlibat di pentas teater tetapi watak kali ini mempunyai cabaran tersendiri dari segi emosi.

 

“Karakter kali ini agak berat sebab jalan ceritanya agak ‘dark’. Ada unsur dendam dan banyak bermain dengan emosi.

 

“Menerusi bantuan pengarah dan latihan, saya akan cuba berikan yang terbaik. Setakat ni sudah 50 peratus persediaan,” katanya.

 

Teater arahan Khairunazwan itu akan dipentaskan di Theatre, Damansara Performing Arts Center (DPAC) pada 26 Februari sehingga 5 Mac ini.

 

Dalam pada itu, ketika diajak berkongsi tentang peribadi, seperti sudah boleh mengagak soalan yang ingin diaju lantas Nadia berkata:

 

“Tiada. Belum. Saya sudah nak masuk 30 tahun pada tahun ini dan belum ada lagi”.

 

Perkembangan lain, Nadia baru selesai menjalani penggambaran tiga telefilem yang menjalani lokasi penggambaran di Pulau Langkawi.

 

Ketiga telefilem tersebut arahan Isma Yusof berjudul Babylon, Qasih Tanpa Suara dan Doa Untuk Adik.

 

Selain itu, pada tahun ini juga dia mahu kembali aktif dalam karier nyanyian.

 

“Mungkin orang lupa yang saya juga penyanyi sebaliknya, rezeki saya lebih pada lakonan buat masa ini.

 

“Rasa terkilan pun ada apabila ramai asyik bertanya kenapa saya tidak pada bidang nyanyian dan mungkin masanya belum betul tiba.

 

“Sebenarnya, apabila tonton AJL29 pada tempoh hari, timbul rasa mahu menyanyi semula kali ini secara aktif.

 

“Namun, saya sedang mencari single yang sesuai dan ada ketika, saya diundang menyanyi untuk beberapa acara tertutup,” tambah pelatun lagu Patah Sayap Ini. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.