Bayaran Tidak Setimpal Punca Zalif Tinggalkan MIG?

Petaling Jaya – Kisah artis yang meninggalkan syarikat yang dinaungi bukanlah asing dalam industri seni tempatan. Malah, sebelum ini  ramai artis yang selesa bergerak sendiri selepas menamatkan kontrak dengan sesebuah syarikat itu.

 

Tidak terkecuali bagi artis dibawah naungan Metrowealth Movies Production (MIG), jika sebelum ini Yana Samsudin dengan rela hati meninggalkan MIG dan menguruskan kariernya sendiri, kini tiba pula giliran pelakon yang terkenal menerusi filem Papa I Love ini.

 

Mengakui menamatkan kontrak bersama Metrowealth Movies Production (MIG) Disember lalu, selepas empat tahun bersama syarikat penerbitan tersebut, Zalif Sidek berkata, tiba masanya dia membawa haluan sendiri.

 

Meskipun produksi milik Mejar (K) David Teo itu pernah berdepan kontroversi bayaran tidak setimpal, namun bagi Zalif pengundurannya dari MIG bukanlah kerana isu tersebut.

 

“Saya akui ketika di awal penglibatan saya sebagai pelakon memang saya mendapat bayaran yang rendah.

 

“Lagipun siapalah saya ketika itu, tetapi MIG satu-satunya syarikat yang  memberi peluang kepada saya sehingga dikenali hari ini.

 

“Malah selepas empat tahun, saya sendiri terkejut apabila mendapat bayaran yang agak tinggi dan di luar jangkaan saya sendiri,” katanya.

 

Ditanya mengapa dia tidak menyambung kontrak bersama MIG, jelas Zalif, ia tiada kaitan dengan sebarang isu atau hubungan kurang baik yang timbul bersama syarikat berkenaan.

 

“Keluarnya saya dari MIG adalah selepas perbincangan bersama dengan David. Dia sendiri memberi peluang kepada mana-mana artis untuk bergerak sendiri jika telah bersedia.

 

“Saya yakin, kerjaya bersama MIG masih ada memandangkan beliau sendiri sudah memberitahu akan terus menawarkan projek kepada saya selepas ini,” jelasnya. – SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.