Bakti, Pandu Puteri 
Hulur Sumbangan Untuk Mangsa Banjir

KEMAMAN 8 Feb. – Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) bersama Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) meneruskan bantuan kemanusiaan pasca banjir di negeri ini dengan menyampaikan sumbangan bernilai kira-kira RM1.52 juta kepada mangsa dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat setempat di sini hari ini.

 

Sumbangan kepada pelajar, guru dan kakitangan sokongan di samping penduduk disampaikan oleh Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatannya bersama rombongan ke Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor, Air Putih dan kemudiannya di Dewan Sivik Felda Seberang Tayor di sini hari ini.

 

Yang hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman merangkap Timbalan Yang Dipertua Bakti dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar merangkap Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang.

 

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Halina Zakaria serta Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri negeri ini, Datin Seri Tengku Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

 

Terdahulu, Rosmah yang juga Yang Dipertua PPPM menyampaikan bantuan sebanyak RM1.33 juta daripada persatuan itu kepada 29,257 murid sekolah rendah dan menengah diikuti 3,080 orang guru serta 541 kakitangan sokongan di 69 buah sekolah yang terjejas.

 

Di samping itu, seramai 7,645 keluarga di daerah yang paling teruk terjejas akibat bencana itu turut menerima sumbangan yang berupa barangan kebersihan diri dan keperluan rumah.

 

Semasa lawatan, Bakti turut menyampaikan bantuan baju T, kain sarung, kain batik, sejadah, telekung dan tuala yang bernilai RM190,000 kepada 2,000 buah keluarga di daerah ini yang terlibat dalam bencana banjir.

 

Selain Bakti, bantuan juga disumbangkan oleh Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia dan beberapa buah syarikat swasta termasuk Gamuda Berhad, Sunway Group, YTL Corporation Berhad, Yayasan Albukhary, Berjaya Corporation Berhad, Malaysia Resources Corporation Berhad, Permata dan Pasaraya Giant.

 

Sementara itu, salah seorang penduduk, Gayah Abdul Rahman, 65, berterima kasih di atas sumbangan yang terus diberikan sehingga ke hari ini kerana secara tidak langsung dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat banjir.

 

“Sewaktu banjir baru-baru ini, kerugian yang dialami tidak banyak berbanding tiga tahun lalu kerana kami sekeluarga sudah membuat persiapan awal dengan membina rakit di dalam rumah.

 

“Rakit itu kami gunakan untuk menyimpan barangan seperti pakaian, tilam, bantal dan lain-lain keperluan, bagaimanapun saya tetap bersyukur dengan keprihatinan Bakti yang peka terhadap kesusahan penduduk kampung,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.