BR1M Bakal Diagihkan 23 Februari Ini

BUKIT GANTANG – Kerajaan bakal mengumumkan beberapa lagi langkah untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang supaya tidak membebankan rakyat setelah mengumumkan peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau bagaimanapun tidak boleh mengumumkannya ketika ini kerana perkara tersebut masih berada dalam kajian.

“Percayalah, saya tidak akan mempersia-siakan mandat yang diterima daripada rakyat pada pilihan raya umum yang lalu. Saya sedar, sebagai Perdana Menteri, sudah tentu dalam hal ini amat sensitif kerana parti keramat ini mesti kita pertahankan secara berwibawa dan berterusan.

“Sudah tentulah luar bandar ini adalah kawasan teras yang patut kita bantu dan kita perlu mengukuhkan lagi kewangan negara,” katanya berucap dalam majlis pecah tanah Wisma UMNO Bukit Gantang, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 bakal dilancarkan 22 Februari ini diikuti dengan pengagihannya pada 23 Februari di semua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

“Kita sudah masukkan dalam manifesto. Dalam masa lima tahun, BR1M akan dinaikkan kepada RM1,200. BR1M pertama RM500, BR1M 3.0 RM650 campur insurans RM50 jadi RM700 nilainya. Orang bujang dapat, anak sekolah pun dapat,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Najib berkata, UMNO tidak wajar dimomok dan dihina serta menjadi punca kepada permasalahan yang berlaku, seolah-olah kejayaan melaksanakan pelbagai transformasi memajukan negara telah dilupakan.

Beliau berkata, rakyat perlu memahami segala usaha kerajaan adalah demi kebaikan semua pihak, namun pembangkang akan sentiasa membuat serangan untuk menidakkan jasa kerajaan.

“Sikit-sikit UMNO padahal UMNO yang banyak berjasa memberi harapan dan sandaran kepada rakyat. Kita tidak lari dan kecewa. Kita tidak akan tinggalkan tapak landasan perjuangan untuk mendahulukan rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.