Tiada Pendakwaan Kes Video Semburit, Individu Tak Dapat Dikenal Pasti – Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara hari ini membuat keputusan untuk tidak mendakwa mana-mana pihak dalam kes video semburit melibatkan bekas Ketua Pemuda (AMK) PKR, Haziq Abdul Aziz bersama seorang individu yang mirip menteri kanan kerajaan.

Memetik laporan FMT, Peguam Negara, Tommy Thomas memberi alasan salah seorang individu dalam video yang viral di media sosial pada Jun tahun lalu itu tidak dapat dikenal pasti.

Mengulas lanjut, Tommy Thomas berkata keputusan tidak membuat pendakwaan itu dilakukan setelah menyemak keterangan yang dikumpul dan dikemukakan oleh pihak polis.

Beliau mendakwa timbalan pendakwa raya sebulat suara mengesyorkan kepadanya agar tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung kes itu.

“Saya menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak. Selaras amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru diperolehi,” katanya.

Pada Jun lalu, Haziq mengakui beliau adalah individu dalam video yang tersebar itu dan individu yang bersamanya adalah seorang menteri kanan yang dikenali umum.

“Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama [nama menteri] dalam video yang telah viral semalam.

“Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei (semasa) Pilihan Raya Kecil Sandakan di (bilik) [nama menteri] di Hotel Four Points,” katanya.

Haziq yang ketika itu adalah Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata beliau tampil membuat pengakuan selepas menerima ancaman daripada Setiausaha Politik menteri berkenaan.

“Dia (setiausaha politik) paksa saya untuk menafikan bahawa diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya.

“Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya.

“Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata ‘ini’ akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong,” ujarnya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site! Open

Close