Najib Mohon Kepada Mahkamah Jadikan Rakaman Audio SPRM Bukti Pembelaan Kes

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan rakaman audio yang didedahkan Ketua Pesuruhajaya SPRM, Latheefa Koya semalam.

Shafee memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali SPRM telah membuat pendedahan audio berkait dengan kedua-kes berprofil tinggi yang didapati boleh membantu pembelaan kes anak guamnya.

“Semalam, SPRM telah dedahkan kepada seluruh media tentang rakaman audio telefon. Pada pengamatan kami, hampir majoriti daripada kandungan (rakaman audio) itu boleh digunakan untuk (bukti) pembelaan kes anak guam (Najib).

“Kita akan failkan permohonan pada masa terdekat bagi mendapatkan audio itu,” katanya pada perbicaraan SRC International hari ini, dipetik dari laporan Malaysia Gazette.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram bagaimanapun belum memberikan kata putus sama ada membantah atau sebaliknya kerana masih lagi dalam proses meneliti permohonan tersebut.

Semalam ketika mengulas pendedahan Latheefa Koya dan SPRM itu, Najib mengesahkan rakaman audio berkenaan sebenarnya boleh membantu pembelaannya dalam kes mahkamah yang dihadapi sekarang.

“Pendedahan SPRM hari ini (semalam) membantu kes mahkamah saya kerana ianya membuktikan bahawa saya tak membohong selama ini.

“Oleh kerana rakaman ini membantu kes saya, peguam saya bercadang untuk meminta pihak SPRM menyerahkan rakaman yang didedahkan hari ini (semalam) untuk digunakan sebagai bukti pembelaan dalam kes-kes saya dan Riza,” kata Najib, dipetik dari Facebook beliau, semalam.

Selain itu, Najib turut membangkitkan persoalan sama ada aktiviti pengintipan telefon sedemikian mematuhi undang-undang atau sebaliknya.

“Rakaman itu perlu disahkan sebagai sahih serta disahkan mematuhi undang-undang termasuk adakah wujudnya niat jahat atau mala fide ketika rakaman dibuat sebelum digunakan sebagai bukti mahkamah terlebih dahulu,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam beliau semalam mempersoalkan agenda KP SPRM di sebalik pendedahan itu.

“Apakah agenda untuk lakukan semua ini lagi-lagi ketika PRK Kimanis? Jangan lupa kamu adalah Pesuruhjaya SPRM bukan lagi politik, jangan berpoliitk atau letak jawatan dan kembali aktif dalam politik.

“Kita sedang mengkaji apakah jenis tindakan susulan yang boleh di ambil melalui perundangan terhadap SPRM khasnya Latheefa itu sendiri pada masa ini.

“Sebagai seorang pakar undang-undang, pastinya Latheefa juga sedia maklum kes-kes yang sedang berjalan ketika ini. Adakah Latheefa mahu cuba mempengaruhi kes yang sedang dibicarakan ketika ini?,” kata Shafee. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.