Tahan Individu Hina Bekas Agong Bertentangan Dengan Dasar Kerajaan

 

KUALA LUMPUR – Penahanan tiga individu di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan bersabit dakwaan memuat naik komen berunsur hinaan terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V disifatkan bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan.

Kumpulan peguam yang mengeluarkan kenyataan bersama, iaitu Syahredzan Johan dan Farhan Haziq Mohamed berkata, mereka mengecam kenyataan individu-individu yang mengeluarkan ekspresi yang dianggap menghina terhadap baginda Sultan Muhammad V.

Bagaimanapun, pada masa sama, tahanan tiga individu tersebut di bawah Akta Hasutan itu dibantah kerana PH di dalam manifesto telah berjanji untuk menghapuskan akta tersebut seperti yang termaktub dalam Janji 27.

“Kami merujuk kepada kenyataan media Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bertarikh 09 Januari 2019, berkenaan dengan penahanan 3 individu yang dikatakan telah memuat naik komen-komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan dengan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

“Kami menegaskan di sini bahawa kami mengecam kenyataan individu-individu yang mengeluarkan ekspresi yang dianggap menghina terhadap baginda Sultan Muhammad V. Kami menyeru supaya rakyat Malaysia menghormati sistem raja berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa sama, kami membantah penahanan ke atas tiga individu tersebut di bawah Akta Hasutan. Kami mengambil pendirian bahawa walaupun apa yang didakwa telah dimuat naik oleh mereka adalah menjelikkan dan tidak dapat diterima masyarakat secara amnya, mereka tidak wajar ditahan di bawah Akta Hasutan.

“Akta Hasutan adalah akta peninggalan penjajah yang zalim dan menekan, serta merupakan suatu sekatan tidak munasabah dan tidak berkadar ke atas kebebasan asasi yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. PH dalam manifesto juga telah berjanji untuk menghapuskan akta tersebut seperti yang tertulis pada Janji 27,” katanya dalam satu kenyataan.

Barisan peguam itu juga menyatakan, mereka sedar bahawa berikutan daripada rusuhan-rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield tahun lepas.

Susulan insiden itu, katanya, Kabinet telah memutuskan untuk menarik balik moratorium ke atas beberapa akta termasuk Akta Hasutan, tetapi ianya hanya terhad kepada kes-kes luar biasa, yang melibatkan keselamatan dalam negeri, ketenteraman awam dan hubungan di antara kaum.

“Kami tidak melihat ketiga-tiga individu tersebut sebagai tergolong dalam kategori yang disebutkan itu, walaupun ekspresi tersebut wajar dikecam.

“Keputusan pihak polis untuk menahan mereka di bawah Akta Hasutan adalah bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan, dan melanggar moratorium yang telah dikenakan, dan kami menggesa supaya mereka dilepaskan dengan segera,” jelasnya.

Mereka turut mencadangkan kepada pihak polis, sekiranya perlu untuk menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada selain Akta Hasutan bagi menyiasat ketiga-tiga individu tersebut.

“ Walaupun kami tidak lihat keperluan untuk menahan mereka melebihi 24 jam.Namun, kami juga menggesa pihak kerajaan untuk mempercepatkan usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan seperti yang telah dijanjikan di dalam manifesto PH,” ujarnya.

Terdahulu, polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan terhadap dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu baginda meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata mereka yang ditahan untuk siasatan itu adalah dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 dan 46 tahun.

“Pengguna Facebook, Eric Liew dan pemilik akaun Twitter masing-masing @azhamakhtar dan @aliaastaman ditahan selepas polis menerima beberapa laporan berhubung tindakan mereka yang memuat naik komen berunsur hinaan menerusi media sosial berkenaan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.