PRK Cameron Highlands: Tiba Masanya BN Beri Peluang Orang Asli Jadi Calon

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil mencadangkan agar Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk meletakkan Orang Asli sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan berlangsung 26 Januari ini.

Menulis dalam satu hantaran di Facebook, Isham berpendapat sudah tiba masanya calon Orang Asli diangkat memandangkan sebelum ini tidak pernah ada Ahli Parlimen dari kalangan golongan itu di Dewan Rakyat sejak Merdeka. 

“Parlimen Cameron Highlands ini mempunyai peratusan jumlah pengundi Orang Asli yang tertinggi di Malaysia. Serta, masalah-masalah di sini adalah masalah setempat melibatkan tanah, pendidikan dan kebajikan orang asli.

“Oleh itu telah tiba masanya untuk Orang Asli diberikan peluang dan sokongan untuk mewakili dan membela untung nasib mereka sendiri di Dewan Rakyat, bukan sahaja untuk Parlimen Cameron Highlands ini tetapi juga mewakili orang asli di seluruh pelusuk negara,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya, situasi BN kini yang bukan lagi sebagai kerajaan begitu ‘terdedah’ kepada risiko untuk tewas kepada DAP disebabkan kekangan kewangan dan logistik.

“Pada pilihanraya umum yang lepas, di Parlimen Cameron Highlands, BN telah menang. 

“Namun kali ini, BN bukan lagi kerajaan. Kita tidak lagi mempunyai kekuatan kewangan dan logistik seperti sebelum ini. 

“Oleh itu kini risiko untuk BN hilang kerusi ini kepada DAP telah meningkat. Apa yang tinggal kepada kita adalah semangat juang, pengalaman serta akal fikiran.

“Untuk PRK Cameron Highlands kali ini, pada pandangan saya, untuk menangani risiko dan masalah di atas, peluang BN untuk menang adalah lebih baik sekiranya BN meletakkan calon Orang Asli,” katanya.

Selain itu ujar Isham, cadangannya juga berlandaskan beberapa elemen, antaranya undi penentu di kawasan itu terletak di tangan pengundi Orang Asli yang berjumlah hampir 7,000 orang atau mewakili 21% daripada keseluruhan pengundi mengikut kaum.

“Pengundi Melayu di sini adalah seramai 10,820 (34%), Cina 9,524 (30%) dan India 4,798 (15%).

“Dalam PRU yang lepas, lebih 60% daripada pengundi Melayu telah mengundi BN. Dan sebahagian besar daripada pengundi Melayu yang tidak mengundi BN telah mengundi PAS iaitu seramai lebih 3,500 orang. 

“Adalah dianggarkan hampir kesemua pengundi Cina di sini telah mengundi PKR dalam PRU-14 yang lepas, dan dijangka pada PRK kali ini hampir kesemua mereka akan mengundi DAP.

“Undi India pula terpecah kepada dua iaitu kepada BN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Pada PRK kali ini ianya akan pecah tiga kepada BN, MyPPP dan PSM.

“Orang asli pula rata-rata menyokong BN sebelum ini. Tahap sokongan yang tinggi daripada Orang Asli inilah yang menyebabkan BN boleh menang tipis di Cameron Highlands pada pilihanraya-pilihanraya umum yang lepas,” ujarnya.

Tambah bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak itu lagi, peluang BN akan menjadi lebih cerah apabila PAS tidak meletakkan calon pada PRK kali ini. 

“Saya harap BN akan membawa hasrat ini untuk kelangsungan perjuangan Orang Asli di Malaysia,” katanya.

UMNO hari ini dijangka akan membincangkan calon BN bagi PRK Cameron Highlands dalam Mesyuarat Majlis Tertingginya (MT).

Pada PRU14, BN yang diwakili calon MIC, Datuk C Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan 10,307 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran dan tiga calon lain.

PH mengekalkan Manogaran yang jugaTimbalan Pengerusi DAP Pahang sebagai calon mereka.

PRK itu juga menyaksikan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas menawarkan diri untuk bertanding di kawasan berkenaan. -SuaraTv 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.