Perlekeh TMJ Isu Pulau Kukup, Ahli Majlis Pontian Letak Jawatan

KUALA LUMPUR – Kamarul Ariffin Harris Fadzillah, yang memuat naik kenyataan memperlekeh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu Pulau Kukup baru-baru ini, meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Pontian.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Tan Hong Pin.

Tan yang juga Setiausaha DAP Johor itu berkata, peletakan jawatan itu dibuat Kamarul Ariffin semalam.

“Dia (Mohammad Kamarul Ariffin) telah meminta maaf kepada Tunku Ismail dan meletakkan jawatan sebagai ahli majlis, kami anggap perkara ini sudah selesai,” katanya dipetik Utusan Online.

Sehubungan itu Tan memberitahu, pihaknya akan mencalonkan pengganti dalam mesyuarat parti yang akan diadakan hujung bulan ini.

Sebelum ini, Kamarul dalam hantaran di laman Facebook beliau mempersoalkan sama ada permohonan maaf TMJ minggu lalu bertujuan untuk mengalihkan perhatian orang ramai berhubung isu Pulau Kukup. 

Dalam kenyataan itu, beliau menulis:

“…Nak minta simpati dan alihkan perhatian rakyat terhadap isu sebenar. taktik macam ini dah basi lah Tunku. Pulau Kukup apa cerita Tunku? Adakah Pulau Kukup akan dibangunkan sebagai Forest City kedua ataupun ‘Kukup City’ pada masa akan datang?

“Ingat Tunku, Pulau Kukup bukan harta pusaka nenek moyang Tunku dan kerabat Diraja Johor. Pulau Kukup adalah milik rakyat dan sila pulangkan Pulau Kukup kepada Rakyat.”

Kenyataan Kamarul itu mengundang kritikan pelbagai pihak menyebabkan laporan polis dibuat ke atasnya ekoran didakwa menghina institusi diraja Johor.

Kamarul tidak lama kemudian memadamkan hantaran tersebut dan memohon maaf di atas keterlanjurannya selain mengakui bahawa kenyataan yang dimuat naik itu menggunakan susunan bahasa yang tidak sesuai dan melanggar norma Bangsa Johor yang terkenal dengan sikap sopan santunnya.

Katanya, kenyataan yang dibuat itu bertujuan menarik perhatian TMJ mengenai isu pertukaran status pemilikan Pulau Kukup sebagai Tanah Kesultanan yang menjadi kontroversi baru-baru ini. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.