“Negara Ni Betul-betul Amal Law of The Jungle”, Lokman Adam Bidas Sikap ‘Double Standard’ PH

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mengamalkan sikap ‘double standard’ apabila mengarahkan polis menyiasat dirinya di bawah Akta Hasutan.

Lokman yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baharu memaklumkan beliau dikehendaki untuk menghadirkan diri ke Bukit Aman esok bagi membantu siasatan polis bersabit laporan polis yang dibuatnya baru-baru ini.

“Bila Hishamuddin Rais, Kadir Jasin, Tamrin Ghafar dan Pemimpin Pakatan Harapan hina YDP Agong dan Institusi DiRaja, laju je Pakatan Harapan ‘gantung’ Akta Hasutan. 

“Ini baru kita buat report Polis ke atas Tun M, AG (peguam negara) dan MDN (Menteri Dalam Negeri) yang disyaki melindungi pembunuh ahli bomba Adib, laju je mereka buka balik Akta Hasutan. 

“Negara ni betul-betul amal Law of The Jungle, undang-undang Zaman Malaysia Baru hanya perlu dipatuhi oleh penyokong pembangkang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Lokman turut menyertakan gambar salinan notis arahan polis itu.

Lokman pada Sabtu lalu membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tommy Thomas kerana didakwa terlibat dalam usaha ‘menyorok’ laporan kematian Muhammad Adib dalam rusuhan di kuil Seafield baru-baru ini.

Lokman menegaskan, polis sebelum ini menyatakan Muhammad Adib telah diserang dan empat individu disiasat kerana cubaan membunuh tapi kini ditukar kepada inkues mahkamah menentukan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu seperti diumumkan Muhyiddin.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam 17 Disember lalu, selepas 21 bertarung nyawa akibat dipukul perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.