Najib Fail Permohonan Gugurkan Sri Ram Ketuai Pendakwaan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan dua permohonan untuk mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rasuah dan pengubahan wang membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapinya. 

Beliau melalui peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas dan satu lagi permohonan di Mahkamah Tinggi Jenayah untuk menggugurkan pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

Muhammad Shafee memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini bahawa pihak pembelaan mengemukakan permohonan tambahan untuk kebenaran semakan kehakiman itu bagi menyokong permohonan notis usul untuk menggugurkan pelantikan Sri Ram.

Muhammad Shafee berkata dalam permohonan semakan kehakiman itu, pihaknya memohon beberapa perintah untuk membatalkan beberapa keputusan membabitkan pelantikan Sri Ram.

“Beberapa perintah yang kami pohon lebih sesuai difailkan melalui permohonan semakan,” katanya yang turut memaklumkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan didengar esok di Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di hadapan Hakim Datuk Azizah Nawawi.

Di awal prosiding, Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi pihaknya mengemas kini status berhubung notis usul yang difailkan bagi menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Peguam itu berkata pihak pendakwaan akan menjawab notis usul itu dan pihaknya juga akan memfailkan balasan terhadap jawapan berkenaan.

“Kami membayangkan bahawa tarikh yang sesuai untuk mendengar permohonan ini adalah selepas semua persediaan dan proses menjawab dokumen selesai,” katanya.

Hakim Collin kemudiannya menetapkan 31 Jan untuk pengurusan kes selanjutnya dan 8 Feb ditetapkan untuk mendengar permohonan pembelaan bagi menggugurkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mewakili pihak pendakwaan.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

Najib yang memakai sut berwarna biru hadir pada prosiding hari ini ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang turut hadir di mahkamah sama untuk sebutan kes rasuah berhubung projek tenaga solar di Sarawak.

Hadir sama, anak mereka iaitu Mohd Ashman dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat masuk ke dalam galeri awam serta bersalaman dengan Najib sebelum prosiding bermula.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.