Komen Hina Agong, Doktor Klinik Mediviron Letak Jawatan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Klinik Mediviron mengesahkan seorang doktor klinik mereka dari cawangan Kajang telah meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta, susulan memberi komen berbaur hinaan terhadap Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam laman Facebook peribadinya.

Dalam satu kenyataan, ia berkata pihak pengurusan Kumpulan Klinik Mediviron amat berasa kecewa dengan komen yang dibuat oleh Dr Rupesh Muniandy yang mungkin mengguris perasaan orang ramai.

Ia juga menjelaskan komen doktor tersebut dilakukan atas kapasiti peribadi beliau dan tidak mencerminkan apa juga pendapat dan penilaian kakitangan serta pengurusan Klinik Mediviron.

“Nilai-nilai yang kami tanamkan selama 33 tahun dalam memberikan perkhidmatan terbaik oleh doktor dan jururawat kami meliputi pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kami sentiasa berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara.

“Dr. Rupesh Muniandy telah memohon maaf atas komen yang dibuat dalam akaun Facebook beliau sendiri.

“Beliau telah bersetuju bertanggungjawab sepenuhnya di atas komennya itu, beliau telah melepaskan jawatannya sebagai doktor di cawangan Klinik Mediviron di Jalan Raja Harun, Kajang dengan serta merta,” kata kenyataan itu. 

Terdahulu, rata-rata netizen menyerang laman Facebook Klinik Mediviron dengan mendesak tindakan tegas diambil terhadap doktor Dr Rupesh ekoran marah dengan komen biadap doktor tersebut.

Sebelum ini, seorang pemilik akaun Facebook, Eric Liew juga diselar netizen berikutan menulis komen biadap terhadap Sultan Muhammad V di media sosialnya menyebabkan beberapa pihak membuat laporan polis bagi mendesak tindakan tegas kepada lelaki berkenaan.

Liew bagaimanapun telah menarik balik kenyataannya dan membuat permohonan maaf dalam akaun laman sosialnya.

Semalam, seorang kakitangan TNB digantung tugas serta merta ekoran mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja digantung tugas serta-merta.

TNB dalam satu kenyataan di malam tadi menyatakan tindakan itu diambil setelah satu siasatan dalaman dijalankan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.