Hormati Pemilihan Agong, Jangan Ada Pihak Menangguk Di Air Keruh – Tok Mat

SEREMBAN — Umno menggesa semua pihak agar menghormati proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan tidak ada sebarang tindakan yang bersifat cubaan menangguk di air keruh.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong merupakan bidang kuasa eksklusif Majlis Raja-Raja dan selaku warganegara yang menjunjung Rukun Negara, rakyat perlu menghormati kedaulatan institusi ini dengan taat dan setia.

“Ia tidak seharusnya dicemarkan dengan sebarang spekulasi, khabar angin yang tidak sahih, atau dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab atau apa-apa sahaja tindakan yang tidak santun.

“Umno menyatakan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan dan kepimpinan Majlis Raja-Raja dalam tradisi dan hal ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohamad yang menjalankan tugas-tugas presiden parti berkata keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 adalah keputusan yang diterima oleh Umno dengan akur dan hormat.

“Umno mengambil kesempatan ini menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas naungan serta kepimpinan yang diberikan sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Malah, Umno ingin menyeru bukan sahaja orang Melayu, tetapi seluruh bangsa Malaysia untuk bersama-sama menyatakan sokongan, kesetiaan dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja-Raja Melayu,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!